Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK RANTAU | "Memang kita (PH) cemas," kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun ketika menjelaskan situasi semasa menjelang hari mengundi esok pagi.

Namun kenyataan itu dibuat beliau secara berseloroh.

Mengulas mengenai peluang PH merampas kerusi Rantau daripada pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan, Aminuddin berkata rasa cemas itu bukanlah disebabkan mereka berasa akan kalah.

Sebaliknya kata Adun Sikamat itu PH cemas untuk menyelamatkan penduduk Rantau daripada dikuasai BN.

"Memang kita (PH) cemas (tapi sebab) nak kalahkan dia. Kita memang cemas," tegas Aminuddin.

Terdahulu beliau ditanya pemberita mengenai dakwaan BN bahawa PH sangat cemas dalam keadaan sekarang kerana sukar untuk mengalahkan Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Beliau juga mengakui Rantau adalah kubu Umno dan BN, namun keadaan itu menunjukkan perubahan ketara akhir-akhir ini.

Katanya keadaan itu dapat dilihat dengan jelas apabila jentera PH turun padang bertemu pengundi Rantau.

Kalau BN tak nak, MB nak

Untuk rekod Mohamad mewakili Rantau sejak 2004 dan memenangi kerusi DUN berkenaan dengan selesa sejak itu.

Pada PRU ke-13 misalnya Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau dengan kelebihan 4,613 undi. Pada PRU Mei tahun lalu beliau memenangi kerusi berkenaan tanpa bertanding.

Bagaimanapun mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan tersebut dan mengarahkan agar pemilihan baru diadakan.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengarah PH untuk PRK Rantau memberitahu, memang berlaku banyak kelemahan semasa Negeri Sembilan ditadbir BN dan ia memberi kelebihan kepada PH untuk mendapat undi yang lebih baik esok.

 

"Saban hari berkempen kami nampak peningkatan sokongan walaupun peringkat awal kita dikatakan underdog (bukan pilihan), tetapi, alhamdulillah, penghujung ini kita melihat peningkatan dari hari ke hari.

"Ia disebabkan jentera PH bertungkus lumus berkunjung dari rumah ke rumah serta ceramah kelompok," jelas beliau selepas menghadiri program taklimat persediaan PH di Eco Park, Kuala Sawah, petang tadi.

Sementara itu, Aminuddin juga menolak persepsi sesetengah pihak bahawa pengundi Melayu dan India merupakan penentu kemenangan di PRK Rantau.

"Bagi saya semua pengundi - tak kira India, Cina, dan Melayu - perlu untuk PH. Tok Mat (Mohamad) kata dia nak undi Melayu dengan India saja, terpulang kepada dia.

"Saya nak ketiga-tiga. Saya nak undi Melayu, saya nak undi India dan saya nak undi Cina. Dan ini yang PH harapkan.

"Dan satu peratus pengundi bangsa-bangsa lain pun saya nak. Kalau dia tak nak, bagi pada saya," kata beliau lagi.

Lihat Komen
ADS