Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri harap ECRL utamakan bahan mentah tempatan

Kementerian Industri Utama berharap Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan disambung semula akan mengutamakan penggunaan bahan mentah tempatan dalam pelbagai aspek pembangunannya.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat banyak bahan mentah termasuk hasil getah Malaysia yang boleh dimanfaatkan bagi pembinaan landasan serta penghasilan bering seismik.

"Pada masa sama, kayu-kayan Malaysia juga sesuai untuk dijadikan sebagai rangka asas landasan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pejabat Perdana Menteri awal hari ini bahawa projek ECRL itu akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di Beijing, China.

Kok berkata menerusi perkembangan terbaru itu, kementeriannya berharap China akan turut membuat lebih banyak komitmen bagi membeli komoditi Malaysia, terutama minyak sawit dan getah.

Ini berikutan kedudukan China yang sentiasa menjadi rakan dagang penting untuk Malaysia serta berperanan sebagai pasaran eksport ketiga terbesar bagi komoditi minyak sawit negara ini.

“Kita juga mengharapkan rundingan dua hala kedua-dua negara dapat terus diperkukuh menerusi pemeteraian perjanjian tambahan membabitkan ECRL itu," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS