Jawatankuasa Disiplin MIC akan mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada anggota parti yang terbabit dalam kekecohan pemilihan MIC Cawangan Petaling Jaya Selatan kelmarin.

Dalam proses pemilihan cawangan kawasan Seksyen 1 kelmarin, tercemar apabila berlaku pertelingkahan antara pengerusi bahagian V. Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dengan sekumpulan ahli mengenai dakwaan kehadiran "pengundi hantu" semasa proses pemilihan.

Pengerusinya Tan Sri G. Vadiveloo berkata, jawatankuasa tersebut telah menerima laporan berhubung insiden itu dan notis tunjuk sebab akan dikeluarkan secepat mungkin.

"Jawatankuasa Disiplin akan menunggu jawapan daripada mereka sebelum kami dapat menjalankan sebarang inkuiri," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas bentuk tindakan terhadap mereka yang terbabit.

Vadiveloo berkata pada masa sama jawatankuasa itu akan menyiasat isu itu termasuk status keanggotaan pihak yang terbabit sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

"Kami perlu memeriksa sama ada mereka itu anggota MIC atau tidak kerana kami tidak boleh bertindak terhadap bukan ahli," katanya.

Sementara itu, Bharat Maniam mendakwa, kumpulan lelaki seramai 15 orang, yang dikatakan

menceroboh dewan mesyuarat itu, didakwa menumbuk beberapa pengerusi cawangan sebelum mengancam untuk mencederakan beliau bersama yang lain di dewan itu.

Laporan polis

Kumpulan itu, yang dikatakan mabuk, tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat itu kerana mereka bukan anggota cawangan dan kumpulan itu kemudian diminta beredar oleh polis.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit, yang mendakwa sebagai mangsa penganiayaan, mengulangi bahawa mereka adalah ahli anggota cawangan yang sah dan tidak mabuk ketika kejadian.

Pegawai penerangan cawangan tersebut V. Mahendran, yang mendakwa beliau ditampar oleh Bharat Maniam, turut menafikan bahawa beliau menumbuk orang lain dalam mesyuarat itu.

"Kami mempersoalkan tindakan dia (Bharat Maniam) sebagai pemimpin. Sebagai pemimpin dia tidak harus melakukan perkara seperti ini," kata calon Ketua Pemuda cawangan itu.

"Dakwaan dia (Bharat Maniam) bahawa kami mabuk juga tidak berasas dan telah merosakkan reputasi kami," kata Mahendran yang datang ke ibu pejabat Bernama di sini dengan diringi pengasas cawangan itu S. Muniandy.

Mahendran dan Bharat Maniam juga membuat laporan polis berasingan mengenai kejadian itu dan akan mengemukakan satu laporan ke ibu pejabat MIC esok.