Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis giat buru pengendali FB hina Agong
Diterbitkan:  Apr 13, 2019 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Polis Diraja Malaysia sedang mengesan pengendali akaun Facebook (FB) yang menggelarkan diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung tindakan memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lepas.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telahpun membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan sehingga semalam polis sudah menerima 91 laporan daripada pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), badan politik dan orang perseorangan berhubung perkara itu.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi siasatan sedang berjalan bagi mengesan individu-individu yang bertanggungjawab membuat 'posting' terhadap penghinaan tersebut pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas majlis perasmian penutupan Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2019 di Mahkota Golf Country Club, di Kuantan hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fuzi meminta masyarakat agar tidak memuat naik sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekecohan atau perkara negatif di media sosial berhubung perkara itu.

“Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Jenayah Komersil Bukit Aman akan memantau tentang perkara ini,” katanya.

Pada Khamis lalu, satu kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ bertindak memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS