Bersih menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPR) dan polis mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden Umno Mohmad Hasan kerana mendedahkan kertas undi.

Badan pendesak pembaharuan sistem pilihan raya itu merujuk tindakan Mohamad yang juga merupakan calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Rantau menunjukkan muka hadapan kertas undi yang sudah ditanda sebelum memasukkannya ke dalam peti undi.

"Adakah dia tidak tahu bahawa itu adalah kesalahan pilihan raya kerana melanggar kerahsiaan undi, walaupun undi sendiri, atau adakah dia buat kerana menafikan undang-undang?" kata kenyataan media Bersih hari ini.

Bersih menjelaskan bahawa Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menggariskan kepentingan untuk memastikan undi dan maklumat berhubung pengundian kekal rahsia.

Hukuman melanggar undang-undang itu adalah satu tahun penjara atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Bersih berkata, apabila seorang individu terutamanya yang mempunyai pengaruh mendedahkan kertas undi, ia boleh mempengaruhi undi orang lain.

"Malah ia juga menyumbang kepada pembelian dan penjualan undi. Kesalahan seperti yang dilakukan Mohamad, jika tidak ditangani, akan menggalakkan orang lain mendedahkan kertas undi pada pilihan raya akan datang.

"Ini boleh menyebabkan akibat yang serius berhubung kesalahan berkempen pada hari mengundi dan rasuah," katanya.

Menyifatkan tindakan Mohamad sebagai melanggar undang-undang pilihan raya, Bersih berkata mesej jelas perlu diberikan berhubung kerahsiaan undi dan bahawa tiada sesiapa yang tidak tertakluk dengan undang-undang.

Ketika berita ini ditulis, Malaysiakini mengumumkan keputusan tidak rasmi PRK Rantau yang dimenangi Mohamad selepas memperoleh jumlah undi yang diperlukan untuk memastikan kemenangan.

[Baca berita asal]