BERITA Malaysiakini

Hadi: Kemenangan BN di Rantau perkembangan positif penyatuan ummah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan calon BN Mohamad Hasan di pilihan raya kecil (PRK) Rantau sebagai perkembangan positif ke arah agenda penyatuan ummah dan permuafakan di kalangan parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh berpengaruh.

Katanya, kekalahan PH dalam PRK tersebut merupakan isyarat penolakan rakyat terhadap budaya politik populis dan ‘pak pandir’ yang ditunjukkan pakatan tersebut.

“Kekalahan PKR dan PH dalam PRK ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH menunaikan janji, di samping petanda rakyat menolak budaya politik populis dan 'pak pandir' yang hanya pandai menyalahkan pihak lain.

“[...] Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli dan jentera PAS serta DHPP ( Dewan Himpunan Penyokong Pas) yang membantu dalam kempen PRK DUN Rantau ini, termasuklah ahli PAS di Rantau yang turun mengundi hari ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak pula dalam satu hantaran Facebook, meluahkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi BN kali ini, biarpun dakwanya, BN diasak dengan pelbagai taktik kotor dan keji daripada PH.

“Kita tidak lupa pemberian kupon makanan, taktik kotor menaikkan banner berunsur perkauman tetapi menyalahkan BN, laungan provokasi menakutkan pengundi seolah-olah penyatuan ummah adalah ala Taliban, kempen meminta undi daripada kaum tertentu kerana calon mereka daripada kaum yang sama, dan sebagainya.

“[...]Tindakan mereka mengungkit kisah dan sejarah lama kewangan peribadi Tok Mat (Mohamad Hasan) juga amat keji dan bagaikan begitu terdesak, sedangkan diketahui umum bahawa Tok Mat adalah tokoh korporat yang amat berjaya sejak sekian lama sebelum menyertai politik,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 8.45 malam tadi mengumumkan calon BN Mohamad menang secara rasmi dengan memperoleh 10,379 undi, mengalahkan calon PH Dr S Streram dengan 5,887 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi.

Daripada 20,926 pengundi berdaftar, DUN Rantau mempunyai 55.51 peratus atau 11,615 pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

SPR turut memaklumkan PRK Rantau mencatatkan 79.3 peratus keluar mengundi, sementara undi rosak pula sebanyak 146 undi.