Terjemahan Kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian mengenai isu pertukaran agama secara berkesan, telah mendorong Badan Bertindak Hak Agama Hindu (Hindraf) untuk membawa perkara tersebut ke peringkat antarabangsa.

Mengikut satu kenyatan hari ini, Hindraf berkata, sebagai langkah pertama kempennya itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai, pemimpin serta badan-badan antarabangsa di Washington, New York dan London.

Pengerusinya, P Waytha Moorthy berlepas ke Washington Ahad lalu dan antara lain, akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jabatan Kehakiman, ahli-ahli Jawatankuasa Hubungan Asing negara berkenaan.

Moorthy kemudiannya akan berlepas ke New York, di mana beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan para pegawai dari pejabat Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Anan, perwakilan Badan Pemantau Hak Asasi Manusia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Di London, beliau akan bertemu dengan Ahli Parlimen Jeremy Corbyn, Pejabat Luar British dan Komanwel mengenai Malaysia, para pengawai Kesatuan Eropah, wakil Amnesty International, Sekretariat Komanwel dan Majlis Peguam British dan lain-lain.

Tiada alternatif

"Pihak kerajaan telah diingatkan sebelum ini, kecuali langkah-langkah berkesan diambil untuk menghormati hak asasi manusia dan kebebasan agama, Hindraf tiada pilihan kecuali membawa perkara ini kepada kerajaan dan badan-badan asing untuk menanganinya," kata kenyataan tersebut.

Hindraf ditubuhkan berikutan tercetusnya kontroversi ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ia tiada kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah yang memutuskan bekas anggota Komandu, M Moorthy meninggalkan sebagai seorang Islam dan mesti dikebumikan mengikut Islam.

Hindraf mendakaa mewakili kira-kira 50 kumpulan Hindu. Kematian Moorthy Disember lalu telah mencetuskan perdebatan hebat mengenai kebebasan agama, sehingga ada pihak yang menggesa kerajaan memansuhkan Article 121 (1A) yang menghalang mahkamah sivil campurtangan dalam perkara berkaitan agama.

Bagaimanapun, pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata artikel tersebut tidak perlu dipinda atau dimansuhkan.

Kecewa dengan keadaan tersebut, Hindraf berikrar untuk membawa perkara tersebut ke peringkat antarabangsa. Berita asal