Gerakan pantau jika penghuni turut dijangkiti selesema burung
Kementerian Kesihatan memulakan tindakan memantau terhadap penghuni rumah yang memelihara ayam yang mati dijangkiti virus selesema burung di empat kawasan penempatan hari ini bagi mengenal pasti jika ada yang sakit akibat virus tersebut.
Kementerian Kesihatan memulakan tindakan memantau terhadap penghuni rumah yang memelihara ayam yang mati dijangkiti virus selesema burung di empat kawasan penempatan hari ini bagi mengenal pasti jika ada yang sakit akibat virus tersebut.
Empat penempatan tersebut ialah Kampung Pasir Wardieburn, Taman Danau Kota, Kampung di Belakang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pekan Danau Kota, berikutan kematian 40 ekor ayam kampung disebabkan virus penyakit itu di Batu 4 1/2, Jalan Genting-Klang minggu lalu.
Menteri berkenaan, Datuk Dr Chua Soi Lek berkata, pemantauan itu dilakukan terhadap penghuni rumah yang ada memelihara ayam yang dijangkiti virus itu di empat kawasan penempatan tersebut.
"Pemantauan itu dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengenal pasti jika ada isi rumah yang sakit disyaki akibat virus itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia dan Merasmikan Forum Pelan Tindakan pemakanan ke-2 (2006-2015) di Putrajaya hari ini.
Menurutnya Hospital Kuala Lumpur telah diarahkan mengambil langkah bersiap sedia kerana ia adalah antara hospital yang mempunyai kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi bagi merawat pesakit yang dijangkiti selesema burung.
Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 40 ekor ayam kampung mati disebabkan virus Avian Influenza H5N1 di Batu 4 1/2, Jalan Genting-Klang minggu lalu.
Bilangan rumah
Katanya, ujian makmal yang dijalankan Makmal Veterinar Petaling Jaya dan Institut Penyelidikan Haiwan, Ipoh mengesahkan bahawa kematian ayam kampung tersebut disebabkan virus berkenaan.
Menurut laporan Bernama, Dr Chua berkata setakat ini kementerian itu belum dapat mengenalpasti bilangan rumah yang terlibat yang ada ayam dijangkiti virus berkenaan serta jumlah penduduk yang seharusnya terlibat dengan tindakan pemantauan itu khususnya pengawasan.
"Mungkin dalam hari ini, baru kita tahu bilangan rumah dalam lingkungan 300 meter (dari reban ayam) itu," kata beliau.
Melalui tindakan pemantauan itu juga, menurutnya Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) juga akan memusnahkan haiwan itu.
Di samping itu, katanya Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur juga telah diarah untuk bersiap-sedia menerima sampel darah pesakit yang disyaki dijangkiti virus itu supaya ujian boleh dijalankan secepat mungkin.
Walaupun jaminan telah diberikan oleh kementerian itu supaya bersiap-sedia menghadapi kemungkinan wabak selesema burung menular, katanya setakat ini tidak ada kes yang melibatkan manusia.
Daging ayam
"Kalau ada apa-apa kes, kita akan umumkan kepada masyarakat umum di media elektronik dan media cetak," katanya.
"Kita (kementerian) akan mengikut arahan Perdana Menteri bahawa kita akan telus dan terbuka. Jadi tidak payah orang buat spekulasi dan andaian mengenai penyakit itu," katanya.
Sementara itu, Dr Chua ketika ditemui pemberita sebelum Mesyuarat Majlis Presiden MCA di Kuala Lumpur menjelaskan semua daging ayam yang dimasak sepenuhnya adalah selamat untuk dimakan berikutan dengan kes itu.
Beliau berkata setakat ini tidak terdapat kes di mana manusia dijangkiti virus Avian Influenza H5N1 disebabkan memakan daging ayam yang dimasak sepenuhnya.
"Kebanyakan mereka (yang dijangkiti virus H5N1) adalah penternak ayam, yang berkait rapat dengan ayam berbanding mereka yang makan daging ayam," kata Dr Chua.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting berkata semua agensi kerajaan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menangani kes terpencil terbaru itu serta juga diminta memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menanganinya


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.