GLOBAL | Seorang lelaki memfailkan saman ke atas ibu bapanya kerana membuang koleksi pornografi yang menurutnya bernilai AS$29,000 (kira-kira RM120,000).

The Guardian melaporkan, duda berumur 40 tahun yang berasal dari Indiana, Amerika itu memfailkan saman berkenaan di mahkamah persekutuan di Michigan.

Lelaki itu sebelum ini dikatakan tinggal di rumah ibu bapanya di Michigan, selepas perceraian pada 2016.

Selepas sepuluh bulan menumpang di rumah ibu bapanya, dia akhirnya berpindah ke rumah barunya di Muncie, Indiana, kemungkinan dengan semangat memulakan kehidupan baru.

Bagaimanapun, ketika barang-barangnya yang dikirim ibu bapanya tiba, dia mendapati 12 kotak koleksi pornografi yang terdiri daripada filem dan majalah hilang.

Susulan itu, dia mendakwa kedua ibu bapanya sendiri mengaku membuang koleksi pornografi itu.

Lelaki berkenaan kemudian membuat laporan polis namun pendakwa raya di daerah Ottawa enggan menjalankan pendakwaan.

Dalam samannya, lelaki itu turut menyertakan emel dari bapanya yang berkata, "Aku berjasa besar kerana tolong kau buang barang-barang itu."

Lelaki itu menuntut pampasan kira-kira RM358,000, iaitu tiga kali ganda nilai anggaran koleksi pornografinya.