Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwa perlu buktikan Najib tahu wang dalam akaun sumber haram

Pendakwaan kes SRC International ke atas Najib Razak perlu membuktikan bekas perdana menteri itu bersubahat dalam dakwaan pemindahan wang haram ke dalam akaunnya, kata ketua peguam bela Shafee Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas perbicaraan itu ditangguhkan hari ini, Shafee berkata penerimaan wang dalam akaun tidak bererti individu pemilik akaun itu tahu punca wang berkenaan.

"Ada banyak transaksi. Isunya ialah, adakah Najib tahu perkara sebenar yang terjadi?

"Adakah dia tahu... Sama ada wang yang masuk dalam akaunnya adalah dari sumber haram? Itu premis asas.

"Hanya kerana wang masuk dalam akaun saya (contohnya), tidak bererti saya tahu dari mana wang itu. Kerana ada banyak individu yang terlibat," katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Shafee berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perbicaraan hari ini berhubung tuduhan ke pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atas Najib melibatkan dana dari SRC International, iaitu beks syarikat subsidiari 1MDB.

"Pendakwaan perlu menunjukkan bahawa dia (Najib) bersubahat dan sebahagian daripada konspirasi," katanya.

Awal hari ini, prosiding yang diadakan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar keterangan daripada dua saksi iaitu pembantu pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaludin Abdullah dan pegawai eksekutif Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Dalam perkembangan perbicaraan hari ini, Shafee berkata setakat ini belum ada pendedahan selain dokumen yang tidak dipertikaikan.

"Perbicaraan hari ini tak banyak perkembangan, mereka hanya kata mereka sudah pergi bank dan dapatkan dokumen tertentu," kata Shafee.

Perbicaraan ditangguhkan pukul 9 pagi esok selepas timbalan pendakwa raya V Sithambaram memaklumkan mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen pihak pembelaan Najib mengambil masa yang lebih daripada yang dijangkakan.

Lihat Komen
ADS