Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 remaja dikhuatiri hilang rupanya lari dari rumah
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 8:23 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas meraikan Tahun Baharu Tamil di sebuah kondominium di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya kelmarin, ditemui semalam dan polis mengesahkan ia adalah kes lari dari rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata Natshatra Navinata, 15, dan Divyaa Munian, 16, ditemui di Stesen Komuter KTM Batu 3 kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya remaja terbabit kemudian dibawa ke rumah ibu saudara mereka di Sungai Buloh sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 7.30 petang ini untuk rakaman percakapan.

Selepas itu mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan kesihatan.

“Punca (kejadian) melarikan diri dari rumah kerana tidak puas hati dengan ibu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Salah seorang daripada remaja itu dipercayai telah mengikut rakannya yang tidak mahu pulang ke rumah, sebelum kedua-duanya ditemui oleh ibu saudara salah seorang daripada mereka di Shah Alam.

Sementara itu ibu Natshatra, Sheila Manikam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anaknya dan Divyaa.

“Mereka ditemui selama, terima kasih kepada semua,” katanya.

Media semalam melaporkan Natshatra dan Divyaa hilang sejak malam Ahad selepas Divyaa dikatakan menempah Grab untuk pulang ke rumahnya dan Natshatra menemankannya hingga ke lobi kondominium di Jalan Gasing Indah.

Sebelum itu, kedua-dua mereka telah ke sebuah kuil berdekatan untuk meraikan Tahun Baharu Tamil.

Tempahan Grab itu dibatalkan dan kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah, menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis dan meminta bantuan orang ramai melalui media sosial untuk mengesan kedua-dua mereka.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS