Paling Popular
Terkini

Kerajaan negeri Kelantan meminta supaya jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak berakhir setakat di Kota Bharu tetapi diteruskan hingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat seperti dipersetujui oleh kerajaan persekutuan BN sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri berkemungkinan akan mengadakan perbincangan semula dengan kerajaan pusat berhubung cadangan itu.

Beliau berkata, jajaran ECRL sangat penting untuk ke kawasan Tumpat memandangkan daerah itu menjadi pemangkin pembangunan dan perancangan kerajaan negeri.

"Tumpat memerlukan laluan kereta api dan perlabuhan memandangkan ketika ini perkhidmatan kereta api dari daerah itu ke Kuala Lumpur sudah terhenti.

"Jika laluan ECRL hanya setakat Kota Bharu, ia akan menjejaskan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan Tumpat.

"Kita sedar kerajaan pusat mahu mengurangkan kos termasuk menukar daripada 'double track' kepada 'single track'. Tapi mungkin laluan itu boleh dipanjangkan lagi (ke Tumpat)," katanya kepada media selepas program solat hajat sempena Hari Sayyidatina Khadijah, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Sebagai rekod, projek ECRL asalnya dicadangkan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak. Upacara pecah tanah untuk projek berkenaan dilakukan pada Ogos 2017.

ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kelantan dan mengikut rancangan asal landasan itu mengunjur sehingga 688km.

Selepas PH membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu, pelaksanaan projek ECRL dikaji semula berikutan kos pembinaannya yang dikatakan terlalu tinggi.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata, jika cadangan itu tidak dibuat sekarang, kerajaan pusat boleh mengambil kiranya sebagai rancangan untuk masa akan datang.

"Kalau bukan sekarang, mungkin pada masa akan datang cadangan itu boleh diambil kira.

"Jadi, kerajaan negeri akan bincang isu ini memandangkan sebelum ini menteri besar, ada cadangkan perkara ini (jajaran hingga Tumpat)," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, apa saja keputusan mengenai projek itu tetap terserah kepada kerajaan persekutuan.

"Yang penting Kelantan termasuk dalam laluan ECRL, setakat ini saya tengok sama (dengan pelan BN) cuma tak sampai ke Tumpat," katanya.

Lihat Komen
ADS