DAP gesa mansuh kekebalan majlis kerajaan tempatan
DAP mendesak kerajaan supaya memansuhkan Seksyen 95 (2) Akta Mengenai Bangunan dan Jalan 1974 kerana ia memberi kekebalan kepada kerajaan tempatan daripada sebarang tindakan undang-undang.
DAP mendesak kerajaan supaya memansuhkan Seksyen 95 (2) Akta Mengenai Bangunan dan Jalan 1974 kerana ia memberi kekebalan kepada kerajaan tempatan daripada sebarang tindakan undang-undang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, akta itu menggalakkan pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) untuk terus melakukan kesalahan dan penyelewengan.
"Dari segi prinsip undang-undang, mereka yang melakukan kesalahan mesti dihukum kerana tidak ada pihak yang boleh mengatasi undang-undang.
"Namun melalui Seksyen 95 (2), PBT yang melakukan kesalahan dilindungi oleh undang-undang dan ini tidak adil kepada rakyat," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahamd Badawi di Putrajaya hari ini.
Memorandum itu diterima oleh Penolong Pembantu Khas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chong Sin Moon yang berkata, pihaknya akan mengkaji kandungan memorandum tersebut.
Lim berkata, penghantaran memorandum itu ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 17 Disember lalu yang mendapati Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak bersalah di atas runtuhan Highland Tower yang mengorbankan 48 orang pada Disember 1993.
Katanya, walaupun DAP menghormati keputusan mahkamah itu, namun ia tetap melanggar prinsip undang-undang dan keadilan rakyat.
"Ia tidak sesuai dengan kerajaan pimpinan Abdullah yang melaung-laungkan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya lagi.
Bayar gantirugi
Pendirian DAP dalam isu ini, kata beliau, ialah PBT mesti membayar gantirugi jika mereka melakukan kesalahan atau cuai di dalam kawasan jagaannya.
"PBT kini bebas melakukan apa sahaja kerana mereka kebal dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Seksyen 95 (A) tidak melindungi rakyat," katanya.
Lim berkata, tragedi Highland Tower adalah disebabkan oleh kesilapan dan kecuaian MPAJ dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Katanya, ahli-ahli Parlimen DAP akan membangkitkan isu itu dalam sesi persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
Beliau berkata, sudah sampai masanya pilihanraya kerajaan tempatan dihidupkan semula untuk mengelakkan penyelewengan di peringkat PBT.
"Pilihanraya kerajaan tempatan akan membolehkan penduduk memilih sendiri wakil mereka dan bukan lagi dipilih oleh kerajaan seperti sekarang ini," katanya.
Lim berkata, dasar kerajaan memilih sendiri ahli majlis kerajaan tempatan akan mendorong mereka memilih ahli yang tunduk kepada kehendak mereka sahaja.

