Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia harap Singapura setuju runding fasa kedua Perjanjian Air
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 3:47 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Malaysia menaruh harapan agar Singapura bersetuju untuk mengadakan rundingan fasa kedua Perjanjian Air 1962 yang membabitkan modaliti harga, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menegaskan bahawa fasa berikutnya merupakan ‘fasa yang agak sukar’, beliau berkata Singapura tidak menolak daripada membincangkannya (modaliti harga) tetapi akan mendapati perkara itu sesuatu yang ‘rumit’ untuk dibicangkan.

“Bagi kita (Malaysia), kita kini memasuki fasa kedua perundingan di mana kita sepatutnya membincangkan modaliti harga. Untuk berlaku adil kepada rakan saya dari Singapura, saya fikir pendirian mereka tidak berubah.

“Saya fikir mereka akan mendapati sukar untuk menerima bahawa kita kini sudahpun memasuki fasa kedua perundingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai Isu Global di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, di Johor Bahru hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya tentang bagaimana proses timbang tara akan berkesan berikutan Malaysia dan Singapura sedang mempertimbangkan timbang tara sebagai cara untuk menyelesaikan isu air yang lama tertangguh antara kedua-dua negara.

“Sebab itulah jika perbincangan atau rundingan itu tidak berhasil, kami mungkin terpaksa pergi ke peringkat seterusnya, iaitu timbang tara antarabangsa tetapi timbang tara bermakna kedua-dua pihak perlu bersetuju, anda tidak boleh melakukan timbang tara secara sebelah pihak sahaja.

“Jadi, saya amat berharap agar sungguhpun perjanjian air ini merupakan isu yang rumit, mudah-mudahan rakan kita dari Singapura akan bersetuju bahawa kita perlu mula berbincang tentang harga, bagaimanapun saya tahu ia agak sukar bagi mereka,” katanya.

Peguam Negara Malaysia dan Peguam Negara Singapura perlu bertemu segera serta membincangkan perkara ini, tegas beliau.

Pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya minggu lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju agar proses timbang tara menjadi antara cara untuk menyelesaikan isu berkaitan perjanjian air itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pemukiman itu, kedua-dua pemimpin (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong) berkata mereka mengambil maklum tentang perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak berhubung hak untuk mengkaji semula harga air di bawah perjanjian 1962 itu.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju supaya peguam negara masing-masing membincangkan perbezaan pendapat ini. Kedua-dua pihak akan mencari penyelesaian secara damai, termasuk menyelesaikan pertikaian itu menerusi timbang tara berdasarkan asas yang dipersetujui bersama,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Malaysia menjual air kepada Singapura pada harga yang terlalu rendah dan kadar itu perlu dikaji semula.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS