Enam anggota tentera Msia ditahan di wilayah selatan Thai
Pihak berkuasa Thailand menahan enam anggota tentera Malaysia yang dipercayai menyeberang sempadan negara di Bukit Tokmok, Sukirin di wilayah selatan Narathiwat malam tadi.
Pihak berkuasa Thailand menahan enam anggota tentera Malaysia yang dipercayai menyeberang sempadan negara di Bukit Tokmok, Sukirin di wilayah selatan Narathiwat malam tadi.
Jurucakap tentera Thailand semasa dihubungi di Narathiwat berkata keenam-enam mereka dibawa ke kem tentera Senanarong di Songkhla untuk disoal siasat.
Katanya, ada kemungkinan anggota tentera itu menyeberang sempadan secara tidak sengaja sehingga lima kilometer ke kawasan Thailand semasa melakukan rondaan rutin.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut tentang penahanan atau apa yang bakal dihadapi oleh anggota tentera itu.
Sejak beberapa dekad yang lalu, pihak berkuasa Thailand memerangi pergerakan pemisah di wilayah yang majoriti didiami kaum Muslim di selatan Narathiwat, Pattani dan Yala.
Menurut laporan Bernama, lLebih 1,000 orang terbunuh sejak keganasan memuncak selepas pihak militan menyerang dan merompak senjata dari kem tentera di selatan Thailand pada Januari 2004.
Pasukan infantri
Sementara itu di Kota Baharu, satu sumber tentera memberitahu bahawa anggota tentera berumur antara 20 dan 30-an itu adalah dari pasukan Infantri ke-2 yang berpengkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang, diketuai oleh seorang lans koperal.
Menurutnya mereka dikataan memasuki memasuki kawasan Thailand secara tidak sengaja semasa menjalankan rondaan rutin bagi mencegah kegiatan pencerobohan pendatang asing.
Mereka dipercayai meronda sehingga ke bahagian utara Bukit Bunga dekat Jeli sebelum secara tidak sengaja menyeberangi sempadan deka Bukit Tokmok itu.
"Mereka mungkin sesat akibat kesilapan membaca peta selepas alat GPS mereka rosak," menurut sumber itu.
Gabenor Wilayah Narathiwat Prasha Taerat pula mengesahkan tentang insiden itu, tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
Prasha berkata ia adalah perkara kecil disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan, dan menurutnya perkata itu diserahkan kepada perbincangan peringkat kerajaan antara kedua-dua negara untuk diselesaikan.

