Polis akan mendapatkan laporan rasmi secepat mungkin daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai lelaki, didakwa ahli kumpulan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), yang ditangkap di Jawa Barat minggu lalu.

"Kita (polis) akan berhubung melalui sama ada melalui Interpol atau secara bertulis kepada Wisma Putra bagi mendapatkan laporan rasmi mengenai perkara itu," kata pegawai perhubungan awam ibu pejabat polis Bukit Aman, Supt Benjamin Hasbie.

Dihubungi malaysiakini petang ini, beliau berkata sebarang tindakan lanjut ditentukan selepas menerima laporan itu.

Polis Metro Jaya Jakarta hari ini dilaporkan mengesahkan Sharani Mohd Arshad yang ditangkap di Pandenglang, Jawa Barat pada Khamis lalu merupakan ahli KMM.

"Dia (Sharani) mengaku pernah menjadi anggota tentera jihad untuk berperang menentang orang Kristian di Maluku," kata ketua bahagian penerangan polis Jakarta, Kolonel Anton Bachrul Alam seperti dilaporkan Utusan Malaysia .

Kejayaan terbaru ini selepas Taufik Abd Halim ditangkap pada 1 Ogos selepas cedera parah ketika cuba mengebom pusat membeli-belah Plaza Atrium, di ibu kota negara itu.

Menurut laporan itu, Sharani ditangkap oleh Pasukan Antipengganas Polis Metro Jaya Jakarta bersama 12 orang lain, semuanya dipercayai rakan Taufik.

Menurut Anton, polis negara itu masih memburu beberapa orang lagi yang dipercayai terlibat dalam serangan bom di Jakarta, dengan tidak menafikan termasuk warga negara Malaysia.

Awal bulan lalu, 10 orang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menganggotai KMM.

Mereka termasuklah anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda PAS kawasan Larut, Perak, Ahmad Tajuddin Abu Bakar.