Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 keluarga 'diusir' di Pasir Gudang
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 9:41 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Sebanyak 11 keluarga di kediaman Flat Jalan Tasek 64, Seri Alam, Pasir Gudang, hilang tempat tinggal apabila rumah mereka disita penguat kuasa semalam, lapor media tempatan.

Utusan Malaysia melaporkan tindakan sita itu dipercayai diambil akibat penduduk terbabit gagal melunaskan tunggakan bayaran sewa kepada kerajaan negeri.

Perkembangan berkenaan memaksa mereka untuk menumpang di rumah saudara-mara terdekat.

Menurut seorang penduduk, Mohd Zin Mustafa, 47, penguat kuasa mengarahkan mereka keluar daripada rumah yang didiami bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Penguat kuasa memberikan masa kepada saya selama 10 minit untuk mengemas barang dan keluar dari rumah kami. Saya bersama-sama isteri serta empat anak lain tiada pilihan lain selain keluar dan duduk di bawah flat.

“Tidak seperti keluarga lain yang bertindak menumpang rumah saudara mara mereka. Kami hanya duduk di bawah flat kerana kami tiada saudara mara yang boleh untuk kami menumpang,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Zin, mereka diarahkan keluar kerana gagal melunaskan bayaran sewa kira-kira RM100 kepada kerajaan negeri sejak 2015.

Tambahnya, dia mempunyai kekangan kewangan kerana menghidapi masalah kesihatan gelinciran cakera (slip disc) dan tidak boleh bekerja sementara isteri yang merupakan warga Indonesia juga turut sama sukar mencari pekerjaan.

“[...] Saya juga mempunyai empat anak berusia 15 hingga tujuh tahun. Dua daripada mereka mengalami penyakit sawan. Kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada Baitulmal sebanyak RM500 sebulan,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS