Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LIMA 2017: Pemandu lapor polis dakwa tak dibayar gaji

Seorang pemandu mendakwa majikannya, yang juga merupakan penganjur Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017, telah gagal membayar gajinya yang tertunggak dan dia telah dibuang kerja secara tidak adil.

Noor Hisham Amad, 38, memberitahu Malaysiakini bekas majikannya itu berhutang kepadanya sejumlah RM9,000 yang melibatkan gaji selama sebulan, kos belanja tuntutan dan pampasan sejak Ogos tahun lalu.

Dia telah memfailkan laporan di balai polis Brickfields pada 27 Mac lalu.

Menurut laporan yang dilihat oleh Malaysiakini, Hisham mendakwa bahawa pada Ogos lalu, dia telah dibayar RM3,500 secara tunai untuk tunggakan gaji bagi bulan Mei dan Jun, serta menerima wang melalui pindahan bank sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, dia berkata syarikat tersebut masih berhutang dengannya sebanyak RM9839.91 seperti yang dinyatakan dalam laporan polisnya.

Hisham mula bekerja untuk majikannya itu sejak 2015, sebelum majikannya itu memperolehi projek menganjurkan LIMA 2017.

Dibuang kerja

Hisham memberitahu Malaysiakini pada September tahun lalu, dia pernah pergi ke pejabat majikannya untuk mendapatkan penjelasan berhubung tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Di pejabat, pembantu peribadi kepada majikan saya yang dikenali sebagai Cik Melur, menyerahkan saya surat untuk saya tandatangani. Saya tak tahu mengenai isi kandungan dalam surat itu memandangkan saya tak faham bahasa Inggeris.

“Saya dimaklumkan yang kandungan itu berkenaan beberapa pekerja dan saya hanya akan bekerja dengan salah seorang majikan tersebut sehingga April 2018. Saya tandatangan surat tersebut," jelasnya.

Katanya, Cik Melur telah memaklumkan kepadanya yang syarikat itu telah bertukar pengurusan beberapa bulan sebelum itu, namun dia tidak tahu-menahu mengenai perubahan tersebut.

Dia berkata, Cik Melur telah menulis pada surat tersebut bertarikh 30/4 (30 April) dan bukannya tarikh dia menandatagani surat itu, 18 September.

“Bila saya balik rumah, saya tunjukkan salinan surat tersebut kepada rakan saya, yang memberitahu saya yang surat itu adalah surat peletakan jawatan yang menyatakan: Saya ingin meletak jawatan..dengan kadar segera.”

Hisham berkata, dia juga melaporkan kesnya kepada pejabat buruh dan ia akan dimasukkan dalam mahkamah buruh pada minggu depan.

Malaysiakini telah menghubungi polis Brickfields, serta Cik Melur untuk maklum balas. 

Lihat Komen
ADS