Sebuah bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa 30 individu - termasuk 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disyaki melakukan rasuah - mengalami kerosakan semasa dalam perjalanan ke mahkamah majistret di George Town hari ini.

Bernama difahamkan enjin bas itu mengalami kebakaran kecil ketika berada di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan petugas SPRM memindahkan kesemua suspek ke dalam 10 buah kereta untuk meneruskan perjalanan.

Dengan bantuan polis trafik yang mengiringi mereka, konvoi membawa kesemua suspek itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 10.40 pagi, hanya terlewat kira-kira 10 minit daripada jadual asal mereka.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen George Town, Nurfadrina Zulkhairi, kemudian memerintahkan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 April.

SPRM memohon perintah itu bagi membantu siasatan mereka yang mengesyaki individu itu terlibat dalam rasuah untuk melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan di jalan raya di sekitar Pulau Pinang.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek merupakan antara 33 individu berumur antara 31 dan 54 tahun yang ditahan antara 10 pagi dan 4 petang semalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Tiga daripada individu yang ditahan semalam itu adalah wanita dan sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Laporan media sebelum ini menyebut petugas-petugas JPJ yang ditahan ini berjawatan penguat kuasa gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM10,000 dan RM32,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori, selain membocorkan maklumat operasi jabatan itu.

Kumpulan lori yang dilindungi itu juga dilaporkan turut dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenal pasti dan kebal daripada tindakan penguat kuasa.

- Bernama