Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu beberapa premis di Lembah Klang bagi mendapatkan bukti berhubung dakwaan penyelewengan saham dan aset Maika Holdings.

Sumber memberitahu Malaysiakini beberapa pasukan pegawai SPRM menyerbu empat bangunan di Petaling Jaya dan Duta Mas, termasuk pejabat perniagaan yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan itu.

Ini selepas serbuan dilakukan di pejabat setiausaha syarikat Maika di Brickfields, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Menurut sumber, SPRM melancarkan siasatan terhadap syarikat milik MIC itu selepas dimaklumkan pemberi maklumat, yang turut memberikan beberapa dokumen mengenai penyelewengan kuasa dan rasuah.

"Siasatan itu berkaitan penggulungan syarikat. Kami melihat semua aset Maika yang telah dicairkan dan proses-proses yang terlibat dalam pembubaran, untuk melihat sama ada terdapat penyelewengan.

"Ia masih di peringkat awal. Siasatan melihat kembali sehingga 2008, jadi buat masa sekarang kita mahu melihat terlebih dahulu berapa dokumen yang boleh kita dapat.

"Penelitian terhadap (kemungkinan) salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kami melihat semua sudut yang ditetapkan di bawah Akta SPRM," kata sumber itu.

Seorang sumber menambah penyiasat belum merakam sebarang kenyataan kerana masih mengumpulkan dokumen untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, serbuan SPRM dijangka berterusan esok dengan beberapa premis lain berada dalam senarai mereka.

Pada Februari lalu, laman web Sarawak Report menerbitkan satu pendedahan yang mendakwa berjuta-juta ringgit disalurkan kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S Vell Paari sebelum penutupan syarikat milik MIC itu pada tahun 2009.

Laman web itu mendakwa wang itu dipindahkan ke syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Vell Paari dalam bentuk tunai dan pembayaran lain antara tahun 2003 dan 2009.

Maika Holdings merupakan ilham S Samy Vellu, bapa Vell Paari, yang juga bekas presiden MIC dan sekutu Umno yang rapat.

Syarikat pelaburan itu ditubuhkan pada awal 1980-an, meraih pelaburan sebanyak RM100 juta daripada rakyat Malaysia berketurunan India, yang kebanyakannya daripada kalangan kumpulan pertengahan dan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, dakwaan salah urus menyebabkan kerugian besar dengan pelabur hampir tidak mendapat pulangan dan ramai menanggung kerugian.

Lihat Komen
ADS