Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sepanjang berkempen pada pilihan raya kecil DUN Rantau, Presiden PKR Anwar Ibrahim melakukan beberapa cara untuk menarik sokongan pengundi agar memilih calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram.

Ini termasuklah menari dan menyanyi ketika mengadakan ceramah di kawasan majoriti pengundi India.

Bagaimanapun, Streram tewas kepada pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan dalam PRK berkenaan.

Menurut Anwar, PKR Negeri Sembilan sedang dalam proses melakukan bedah siasat untuk menentukan punca kekalahan.

"Laporan bedah siasat sedang disiapkan, saya tunggu laporan dari negeri ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Sunway hari ini.

Pada PRK yang berlangsung Sabtu lalu, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan memenangi kerusi Rantau untuk kali keempat dengan majoriti 4,510 undi berbanding Streram.

PH hanya memenangi satu daerah mengundi pada PRK itu iaitu di Bandar Ekar, yang memiliki 42.1 peratus pengundi Cina dan 35.4 peratus pengundi India.

Sokongan PH di Bandar Ekar juga menyaksikan penurunan daripada 70.3 peratus pada pilihan raya umum lalu (di peringkat parlimen) kepada 60 peratus pada PRK kecil ini.

Keputusan ini berbeza pada PRU lalu apabila PH menang separuh daripada 14 daerah mengundi di peringkat parlimen.

BN juga menang di daerah mengundi Pekan Sagga (63.7 peratus India) dan Linsum (48.3 peratus India) yang mempunyai jumlah pengundi India tertinggi dan kedua tertinggi di Rantau.

Pada pilihan raya umum lepas, PH menang 51.98 peratus undi di Pekan Sagga manakala BN menerima 44.23 peratus dan PAS 3.78 peratus di peringkat parlimen.

Keputusan di Rantau menyaksikan kekalahan ketiga PH dalam pilihan raya kecil selepas Cameron Highlands dan Semenyih.

PH memenangi empat pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum lalu iaitu iaitu Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat majlis presiden PH minggu depan akan membincangkan mengenai pilihan raya kecil Sandakan pada 27 April termasuk calon berpotensi.

"Saya fikir (mesyuarat presiden) akan diadakan minggu depan, kami akan beri sokongan penuh kepada calon DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS