Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
20 tahun reformasi, Wan Azizah teringat surah al-Kahfi

Dua puluh tahun tahun perjalanan gerakan reformasi bukanlah tempoh waktu yang singkat bagi timbalan perdana menteri Wan Azizah Wan Ismail. 

Apabila mengimbau ujian getir yang dilaluinya sejak 1998, Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu pasti teringat kepada ayat al-Quran dalam surah al-Kahfi.

“Saya sangkakan tahun 1998 satu peristiwa yang berlaku, mungkin (reformasi tercapai selepas) 6 bulan, mungkin setahun, (tetapi) 20 tahun, tapi jangan putus asa, jangan hilang kepercayaan bahawa Allah SWT akan berikan (hikmahnya), tapi sabarlah.

“Berapa lama nak sabar? Tidak ada hitungnya. Itu yang saya teringat, saya kongsi apa yang saya fikirkan kenapa Allah SWT itu minta kita baca surah al-Kahfi ini tiap-tiap minggu, apa keistimewaan dia, apakah hidup ini lama? Tidak.

“Cumanya dalam tempoh 20 tahun reformasi, bertahun-tahun (berjuang akhirnya) kita sampai ke tahap ini yang kita sendiri tidak sangka, namun inilah pemberian Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Dunia al-Kahf sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Azizah berkata segala cabaran pernah dihadapi menjadikan dirinya lebih kuat selain mahu umat Islam di negara ini menjadikan intipati surah al-Kahfi sebagai ikhtibar ketika berdepan ujian.

Ashabul Kahfi merupakan kisah sekumpulan pemuda diceritakan dalam al-Quran, yang tertidur dalam sebuah gua selepas melarikan diri daripada pemerintahan seorang raja yang zalim.

Terdapat pendapat ulama mengatakan pemuda berkenaan tertidur dalam gua tersebut selama 309 tahun.

Gerakan reformasi pula tercetus selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, oleh ketuanya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad atas tuduhan salah laku seks dan rasuah.

Anwar didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara namun berulangkali menegaskan tuduhan terhadapnya merupakan konspirasi politik. 

PKR ditubuhkan daripada perjuangan reformasi yang dilancarkan Anwar dan merupakan sebahagian daripada parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU 2018, PH bergabung dengan Parti Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir dan berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak.

PH perlu berusaha lebih keras

Sementara itu mengulas kegagalan PH merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau daripada BN, Wan Azizah berkata gabungan itu perlu berusaha lebih kuat untuk terus mendapat tempat di hati pengundi.

Wan Azizah berkata, faktor kekuatan calon BN, Mohamad Hassan juga punca kenapa pengundi tidak memilih calon PH pada PRK itu.

Katanya, DUN Rantau diakui adalah milik Mohamad kerana merupakan anak tempatan dan pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan untuk beberapa penggal.


Lihat Komen
ADS