Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dakwa k'jaan lulus peruntukan kuatkan tentera siber

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan peruntukan untuk melatih lebih ramai tentera siber berikutan kekalahan dalam PRK Rantau minggu lalu.

Bagaimanapun sumber dalaman PH memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu tidak benar.

Enggan mendedahkan namanya, sumber itu mendakwa Najib yang sebenarnya membayar pasukan untuk menguruskan akaun media sosialnya.

Katanya, itulah sebabnya laman media sosial Najib memuat naik hantaran walaupun ketika beliau sedang melalui perbicaraan di mahkamah.

Dalam hantaran Facebook pagi tadi, Najib yang memetik sumber mendakwa PH memutuskan untuk menguatkan 'tentera siber' mereka kerana menganggap keadaan sudah kritikal.

"Mengikut sumber, antara laman Facebook sasaran utama untuk diserang oleh skuad 10k ini adalah laman saya dan laman media kerana Facebook pemimpin mereka kurang mendapat sambutan.

"Bagaimanapun saya yakin bahawa rakyat tidak mahu ditipu lagi," katanya.

Menafikan dakwaan tersebut, sumber PH itu mendakwa Najib "membina perisai persepsi" memandangkan minat terhadap perbicaraannya mula meningkat.

"Oleh kerana kesnya sudah masuk peringkat perbincaraan, ia menjadi topik hangat di kalangan warganet yang ingin tahu lebih lagi tentang skandal.

"Jadi Najib sedang mencipta persepsi (berkenaan tentera siber PH) untuk mengalihkan kritikan daripada media sosial tulen milik rakyat Malaysia.

"Sesiapa yang mengkritiknya (di media sosial) akan digelar sebagai tentera siber PH berbayar," kata sumber itu lagi.

Najib kini sedang dibicarakan untuk tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berkenaan SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan SRC International, melibatkan RM47 bilion, yang akan didengar di mahkamah kemudian.

SCR ialah bekas subsidiari 1MDB.

Lihat Komen
ADS