Malaysiakini BERITA

Shafee: Transkrip Jho Low boleh buktikan Najib tak terlibat

Yasmin Ramlan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam bela Najib Razak hari ini berkata transkrip perbualan antara Low Taek Jho dan Ambank mungkin akan menunjukkan ahli perniagaan itu telah memperdaya Ambank berkenaan transaksi melibatkan Najib Razak.

Beliau berkata transkrip itu penting kerana ia dapat menunjukkan transaksi itu dilakukan di bank tanpa penglibatan Najib.

"Terdapat orang lain yang menggunakan akaunnya. Jika Jho Low menyalahgunakan (akaun) bank itu, apa yang Najib akan lakukan? Bagaimana anda boleh menyalahkan dia (Najib)?

"Sebab itu saya katakan sama ada dia (Najib) tahu (atau tidak) yang dia berurusan dengan dana haram," katanya kepada pemberita luar bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pihaknya masih mencuba untuk dapatkan transkrip komunikasi antara pegawai bank itu dan ahli perniagaan dalam buruan tersebut.

Semalam, Muhammad Shafee berkata peguam bela Najib memerlukan bahan bukti membabitkan komunikasi di antara pegawai perhubungan Ambank, Yu dan Jho Low untuk membuktikan bekas perdana menteri itu tidak tahu-menahu berkenaan kesalahan yang didakwa ke atasnya.

Mengulas lanjut, Shafee berkata pihaknya akan mendapatkan transkrip komunikasi di antara pegawai Ambank Joanna Yu dan ahli perniagaan yang jadi buruan polis, Jho Low.

Beliau berkata hal itu merupakan perkara yang menjadi keutamaan mereka untuk perbicaraan kali ini.

"Ia merupakan satu perkara yang paling penting. Jika mereka cuba menyembunyikannya, habislah mereka.

"Mereka (pendakwaan) tidak boleh menyembunyikannya kerana ia ada di mana-mana, dalam Wall Street Journal, dan juga Sarawak Report, kerana jika ia hilang, akan ada masalah yang besar," katanya kepada pemberita luar bangunan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Semalam seorang lagi peguam yang mewakili Najib, Harvinderjit Singh, berkata bahawa pasukan pembelaan memerlukan e-mel dan telefon Blackberry yang mungkin mengandungi perbualan di antaranya berkenan dengan Jho Low serta individu lain yang berkaitan.

Selain Jho Low beberapa nama yang disenaraikan peguam itu ialah Nik Faisal Ariff Kamil, Jerome Lee Tak Loong, Terrence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Shahrol Azral Ibrahim, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Ismee Ismail, dan See Yoke Peng.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.