Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memberitahu belum ada sebarang kelulusan diberikan terhadap Cadangan Pelan Induk Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Bagaimanapun katanya, melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-31 yang bersidang semalam, cadangan pelan induk tersebut ada didengar dan dipertimbangkan selaras dengan peruntukan perenggan 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kelmarin berkata PSR telah mendapat lampu hijau daripada MPFN.

“Majlis tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut tetapi telah menasihati kerajaan negeri (Pulau Pinang) melalui 18 nasihat yang telah digariskan,” kata Khalid dalam satu kenyataaan hari ini.

Untuk rekod, MPFN berada bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri diminta untuk mendapatkan nasihat tambahan daripada beberapa kementerian termasuklah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA); Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA); dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Selain itu, kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan tersebut bagi memastikan keperluan-keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

Khalid turut mengingatkan bahawa permohoanan tersebut perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Memandangkan permohonan yang dikemukakan ini berbentuk pelan induk, ianya perlu dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat Majlis,” katanya lagi.

PSR melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di bahagian selatan pulau itu dan dijangka menjejaskan kehidupan ratusan nelayan.

Semalam, NGO Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa "terkejut dan terganggu" dengan perkembangan PSR yang dikatakan mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.

Dalam kenyataannya, NGO tersebut meminta 18 nasihat yang diberikan kepada kerajaan negeri itu didedahkan kepada umum.

Chow pula berkata beliau akan menjelaskan 18 nasihat itu dalam satu sidang media yang sepatutnya berlangsung hari ini.