Siar kartun didakwa hina Nabi: Pengarang NST sedia bertanggungjawab
Pengarang akhbar New Starits Times (NST) bersedia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyiaran kartun yang didakwa menghina Nabi Muhammad s.a.w dalam edisi 20 Februarinya jika ia melanggar garispanduan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Pengarang akhbar New Starits Times (NST) bersedia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyiaran kartun yang didakwa menghina Nabi Muhammad s.a.w dalam edisi 20 Februarinya jika ia melanggar garispanduan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dalam penjelasannya di muka surat 2 akhbar itu hari ini, NST menyatakan, jika ia melanggar semua prinsip yang ditetapkan, kerajaan berhak menghukum akhbar dan editor terbabit kerana tiada siapa atau mana-mana akhbar di negara ini boleh menghina mana-mana agama.
"Jika kartun itu menghina Islam dan Nabinya, sewajarnya akhbar dan pengarang akhbar New Straits Times dan para eksekutif terbabit, dipertanggungjawabkan sebagaimana yang berlaku pada editor dan akhbar Sarawak Tribune dan Guang Ming ," kata penjelasan tersebut.
Walaupun penjelasan NST itu tidak menggariskan perintah, garispanduan atau prinsip berkenaan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan penggantungan sementara Guangming Daily pada 14 Februari lalu, ada menyebut tentang perintah tersebut.
Perintah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu melarang secara mutlak di seluruh Malaysia, percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang berkaitan isu karikatur itu yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Ketua Pengarang kumpulan NST ketika ini ialah Datuk Hishamuddin Aun manakala Pengarang Kumpulan akhbar NST ialah Brendan Pareira. Datuk Kalimullah Hassan pula merupakan Penasihat Pengarang kumpulan tersebut.
Bagaimanapun penjelasan itu mempertahankan tindakan penyiaran kartun tersebut dengan menegaskan bahawa ia tidak serupa dengan apa yang disiarkan di dalam akhbar Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily .
"Adakah kartun itu menghina Islam? Apa bezanya antara NST dan Sarawak Tribune serta Guang Ming Daily yang telah digantung itu?
"Kedua-dua akhbar berkenaan menyiarkan karikatur sama ada kabur atau digambarkan sebagai seseorang sedang membaca akhbar - yang dalam Islam dianggap menghina dan salah," katanya.
Kenyataan NST itu mendakwa apa yang disiarkannya tidak sama dengan lakaran yang disiarkan oleh kedua-dua akhbar berkenaan.
NST juga membidas tindakan pihak tertentu yang mendakwa penyiaran kartun tersebut sebagai menghina Islam dengan menyifatkan reaksi mereka sebagai tidak jujur tetapi didalangi oleh dendam peribadi dan agenda poilitik.
"Kami mahu mempertahankan kebebasan untuk melapor sebebas mungkin tetapi ada pihak lain pula menyalahgunakan sepenuhnya kebebasan yang ada sekarang ini," tegas kenyataan itu.
NST juga mendakwa, pihak berkenaan membantah penyiaran kartun itu kerana mereka kurang senang dengan sikap para editor akhbar itu kebelakangan ini yang bersikap profesional dalam memberi laporan seobjektif mungkin kepada para pembacanya.
"Apabila kebenaran dilaporkan ada pihak yang terkena dan mereka yang berkuasa cuba menutup kelemahan masing-masing dengan apa cara sekalipun," tegas NST lagi.
Oleh itu, akhbar tersebut menekankan, dalam menilai dan mengadili kes ini, isu yang perlu diberi tumpuan ialah adakah ia benar-benar melanggar perintah dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Apa yang hendak kita katakan tentang diri sendiri atau negara ini kalau kita membenarkan orang yang mempunyai motif peribadi, mengunakan isu-isu sensitif seperti agama dan kaum untuk menghukum orang lain?" persoal NST lagi.
Dalam dua insiden berkaitan penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w sebelum ini, Guang Ming Daily Edisi Petang" telah digantung selama dua minggu berkuatkuasa 16 Februari hingga 1 Mac manakala Sarawak Tribune digantung sehingga satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Semalam, Pemuda PAS pusat dan Majlis Pemuafakatan Angkatan Badan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (Mapan) telah membuat laporan polis berhubung penyiaran kartun tersebut dalam akhbar NST.
Kartun yang disiarkan oleh akhbar NST itu menunjukkan seorang pelukis jalanan menawarkan perkhidmatan untuk melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w.

