Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hampir mustahil kajian ganja perubatan dibenarkan di M'sia'

Seorang peguam hari ini mendakwa hampir mustahil bagi individu atau sesebuah kumpulan melakukan kajian berkaitan ganja di Malaysia kerana ia masih ditakrifkan sebagai narkotik di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Presiden Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa), Intan Mustika Putri Mokhtar berkata, ini berikutan penolakan kerajaan terhadap kajian dari luar negara dan bukti-bukti tempatan yang menyokong gesaan agar ganja perubatan dibenarkan.

"Disebabkan ganja itu berada dalam Jadual 1, bermakna ia tidak ada apa-apa manfaat. 

"Tak ada apa-apa kepentingan dalam sudut medical (perubatan), menjadikan adalah mustahil untuk kita mengkaji ganja itu daripada strain," kata Intan Mustika ketika menjadi ahl panel dalam sebuah forum yang dianjurkan oleh Masa di Kuala Lumpur hari ini.

"Nak ambil (untuk selidik) THC (bahan dalam ganja) yang sintetik untuk kajian pun it takes almost a year (mengambil masa hampir setahun). 

"Berdasarkan apa yang saya faham dari kajian Universiti Putra Malaysia mengenai bagaimana THC bertindak balas kepada otak, mereka terpaksa menunggu satu tahun untuk THC masuk ke makmal mereka," katanya.

Beliau merujuk kepada satu kumpulan pakar neurosains dari UPM pada Januari yang mengeluarkan hasil kajian selama dua tahun yang mendapati terdapat bukti menghubungkan THC dengan rawatan penyakit neurodegenearatif termasuk Alzheimer.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengatakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan ganja perubatan jika firma farmaseutikal dapat membuktikan keberkesanan dan keselamatan bahan itu melalui penyelidikan berasaskan data.

Intan Mustika berkata beliau menjumpai ramai individu yang mempunyai penyakit kritikal yang dikatakan mendapat manfaat daripada penggunaan ganja perubatan.

"Orang-orang yang macam ni walaupun doktor dan berputus harap pada dia, dia tak boleh berputus harap pada diri dia sendiri.

"Jadi mereka lakukan penyelidikan sendiri. Adakah cara lain mereka boleh selamatkan diri sendiri? Dan mereka temui ganja kerana ganja digunakan di seluruh dunia sekarang," tegasnya.

Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi apabila didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang tetapi dapat mengelak daripada menjalani rawatan dialisis kerana penggunaan ganja perubatan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS