Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berlepas pagi tadi berlepas ke China untuk lawatan kerja lima hari bersama delegasi perdagangan dari negeri ini, kata Jabatan Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie diiringi oleh isteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta kira-kira 32 ahli perniagaan yang mewakili pelbagai industri di Sabah.

Delegasi perdagangan dari Sabah, yang pertama diketuai oleh Mohd Shafie sejak beliau mengambil alih sebagai ketua menteri, tiba di Nanchang, Wilayah Jiangxi, sejurus sebelum tengah hari, dan mengunjungi Gabenor Wilayah Jiangxi, Li Yianhong selepas majlis makan tengah yang dihoskan oleh wilayah tersebut sebelum melawat ibu pejabat Jiangxi Copper Corporation.

Pada Ahad, Mohd Shafie dan delegasi akan menuju Shenzen untuk melawat Kilang Xinyi Glass Holdings Ltd di Dongguan, dan syarikat China itu bersetuju untuk melabur di kilang pembuatan kaca di Sabah. Selepas itu, mereka akan melawat pejabat dan kilang Huawei.

Pada Selasa, Mohd Shafie akan menyampaikan ucaptama mengenai Peluang-peluang Perdagangan dan Pelaburan di Sabah, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah dan Biro Perdagangan Shenzhen.

Beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat-syarikat Sabah dan pelabur China dijangka dimuktamadkan.

Mohd Shafie akan berlepas pulang pada Rabu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS