Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Sarawak minta orang awam bantu kesan OKT

Polis Sarawak sedang menjejaki seorang lelaki yang dikehendaki bagi menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM192,000 di Kapit, tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata Rubin anak Banta, 35 gagal menghadirkan diri semasa pengurusan kes praperbicaraan di Mahkamah Sesyen Kapit pada Mac 2018.

“Waran tangkap terhadap tertuduh telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sibu pada 23 Nov 2018,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mustafa Kamal, lelaki itu menghadapi pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan wang berjumlah RM192,101.47.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tertuduh boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan JSJK ASP Princha Azin menerusi talian 019-8897640, katanya.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS