Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kawasan hutan seluas hampir 40 hektar berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan, Pahang dilaporkan terbakar sejak Khamis lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Syed A Jamaludin Syed Mohamed berkata kebakaran disedari pada 4 petang Khamis, oleh pasukan yang membuat rondaan di kawasan sekitar.

Beliau berkata setakat ini, hanya empat hektar kawasan terlibat dapat dipadamkan.

"Punca kebakaran dipercayai bermula dari dalam hutan dan masih tidak diketahui kerana kita mempunyai kesukaran untuk masuk ke situ.

"Buat masa ini, operasi memadam kebakaran dilakukan dari ladang kelapa yang terletak bersebelahan hutan," katanya.

Syed A Jamaludin berkata pihak bomba juga perlu melalui jalan ladang selama hampir 40 minit untuk menghampiri sempadan hutan yang terbakar itu.

Selain tiada laluan masuk, bomba juga berhadapan dengan sumber air terhad, selain pergerakan angin yang menyukarkan operasi memadam kebakaran.

Operasi memadam kebakaran juga dibantu oleh kakitangan Jabatan Alam Sekitar dan 10 pekerja ladang kelapa terbabit, katanya yang menjangkakan api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh selewat-lewatnya seminggu.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS