Pergerakan Pemuda Umno membantah tindakan sebuah hotel bertaraf lima bintang melarang pekerja wanita beragama Islamnya memakai tudung.

Surat bantahan itu dihantar kepada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam Penuda Umno, Datuk Subahan Kamal berkata, pihaknya juga akan meminta Kementerian Pelancongan supaya membatalkan lesen perniagaan Hotel Renaissance Kuala Lumpur jika terus berdegil.

"Syarikat sama ada tempatan atau asing tidak boleh melarang pekerja Islam memakai tudung semata-mata kerana tempat kerjanya adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang. Adakah memakai tudung menjejaskan kualiti kerja?

"Saya meminta Pengarah Urusan Hotel Renaissance, Robert Frager seorang berbangsa Austria prihatin dengan agama dan budaya hidup rakyat Malaysia. Beliau tidak boleh menyamakan budaya kerja di Barat dengan Malaysia," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Subahan mengadakan sidang akhbar itu bagi membangkitkan nasib seorang pekerja hotel tersebut, Habsah Jaffar yang terpaksa meletakkan jawatan selepas majikannya melarang memakai tudung.

Subahan berkata, pihaknya akan membawa kes Habsah itu kepada pengetahuan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Ong untuk tindakan lanjut.

Subahan menambah, Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno menerima banyak aduan daripada pekerja yang beragama Islam dari pelbagai sektor mengenai diskriminasi di tempat kerja.

Katanya, walaupun Pemuda Umno tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas syarikat terbabit tetapi akan mendesak kementerian yang berkenaan membatalkan lesen perniagaan mereka.

"Jika sektor perhotelan, kami akan mendesak Kementerian Pelancongan mengambil tindakan, pekerja sektor pengangkutan, Kementerian Pengakutan boleh membatalkan lesen mereka," katanya.

Habsah, Pangarah Akaun (Jualan) hotel berkenaan telah bekerja selama 10 tahun mendakwa pengurusan hotel itu memberi amaran akan memecatnya jika terus memakai tudung.

" Apabila saya berkeras saya tidak dibenarkan datang bekerja. Selama ini saya tidak memakai tudung tetapi memandangkan saya baru mengerjakan ibadat haji saya mahu memakai tudung selaras dengan tuntutan Islam," jelasnya.