Paling Popular
Terkini

Langkah untuk menggugurkan Adun Skudai, Tan Hong Pin daripada barisan exco Johor bukan merupakan keputusan DAP, kata Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng.

"Ia bukan diputuskan oleh DAP.

"Itu saja yang saya boleh sebut, itu bukan keputusan yang dibuat oleh DAP," katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.

Beliau memberikan respons yang sama apabila ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.

"Tapi kita akur atas keputusan dibuat oleh pihak Johor," katanya yang enggan mengatakan sama ada beliau merujuk Menteri Besar Johor yang baru, Dr Sahruddin Jamal.

Penjelasan Lim itu berbeza dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, DAP Anthony Loke pada majlis berasingan hari ini.

Loke berkata keputusan itu dibuat oleh "kepimpinan kami' dan Pakatan Harapan Johor.

Terdahulu barisan exco Johor dirombak hari ini yang menyaksikan Tan dan Mazlan Bujang dari Bersatu digugurkan.

Sahruddin menjelaskan keputusan tersebut diambil kerana mahukan exco yang beliau selesa bekerjasama dengan mereka.

Sahruddin menggantikan Osman, yang meletak jawatan sebagai menteri besar selepas 11 bulan PH mengambil alih kerajaan negeri daripada BN.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini dilapor menetapkan syarat agar menteri besar yang baru perlu merombak barisan exco apabila dilantik ke jawatan itu.


Lihat Komen
ADS