Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gobind perjelas kenapa PH 'dolak-dalik' tunai janji

WAWANCARA | Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyifatkan PH kelihatan 'berdolak-dalik' dalam menunaikan janji pilihan rayanya kerana kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan dan para menterinya yang kurang pengalaman.

Pada wawancara bersama media menjelang sambutan setahun PH memerintah negara pada bulan depan, Gobind mengakui terdapat keputusan yang dibuat PH ditarik balik atau bercanggah dengan keputusan yang dibuat sebelumnya.

"Dalam keadaan itu, saya fikir kita perlu menjelaskan mengapa keputusan berkenaan dibuat.

"Selalunya keputusan itu dibuat kerana kami menemukan terdapat masalah dalam melaksanakan polisi tersebut, sama ada kita mempunyai kekangan kewangan, kekangan perundangan atau kerana struktur yang ada yang tidak boleh diubah dalam masa semalaman," katanya ketika temu bual di Angkasapuri, RTM di Kuala Lumpur hari ini.

Tanpa pengalaman terdahulu dalam mentadbir kerajaan persekutuan, Gobind berkata banyak masa telah dihabiskan untuk mempelajari fungsi pelbagai agensi dan cabarannya.

"Dalam tempoh 11 bulan yang lalu, terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan, kami tidak mempunyai pengalaman.

"Mungkin untuk kebanyakan menteri dan saya boleh katakan bagi diri saya sendiri ... Ia mengambil masa untuk kami belajar dan seterusnya membangunkan dasar-dasar baru untuk membawa perubahan," katanya.

Bagaimanapun, Gobind menolak untuk menilai secara langsung prestasi kementeriannya berdasarkan skala dari satu hingga sepuluh.

Gobind mengulangi pandangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan untuk memenuhi janji pilihan raya.

Pada masa yang sama, anggota parlimen Puchong itu menggesa para pengkritik untuk memberikan PH lebih banyak masa daripada tempoh setahun pentadbirannya bagi melaksanakan janji-janji pilihan rayanya.

"SUdah tentu, semua janji itu penting, tetapi dari segi keutamaan, kami boleh melihat ada hal yang perlu dilakukan dahulu dan yang lainnya boleh dibuat kemudian," katanya lagi.

Gobind yang juga timbalan pengerusi kebangsaan DAP turut mengakui PH masih belajar memperbaiki komunikasinya dan menjadi cabaran tambahan dalam menangani keputusan yang dibuat di beberapa kementerian.

"Apabila hal itu berlaku, sekiranya tidak diuruskan dengan baik, akan terdapat percanggahan, menarik balik kenyataan atau lain-lain hal lagi yang mana kami perlu belajar," jelasnya.

Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Penerangan, Gobind berkata beliau mengambil maklum kritikan terhadap fungsinya dan meyakinkan usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki prestasi agensi berkenaan.

"RTM bekerja dengan baik. Mereka mencuba sebaik yang mungkin dan Bernama juga telah bertambah baik.

"(Jabatan) Penerangan kini beroperasi dengan baik. Saya amat yakin sayap maklumat kementerian ini dapat mengatasi masalah tersebut," katanya.

Dalam tempoh 11 bulan lalu, terdapat usaha berterusan pentadbiran PH untuk mengubah RTM, Bernama dan agensi lain di bawah kementerian, termasuk perubahan dalam pengurusannya.

Sebelum menang PRU14 dan menguasai kerajaan persekutuan, pemimpin PH ketika menjadi gabungan parti pembangkang sering kali menuduh media berkaitan kerajaan menafikan hak mereka untuk didengar (dalam laporan berita) atau media didakwa terlibat dalam serangan bermotif politik.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS