Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tinggal kurang 24 jam, 577 kawasan di Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air sementara dari 24 hingga 27 April disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Gangguan air itu melibatkan enam wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula esok dan melibatkan 620,835 pemilik akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Biarpun gangguan itu bukan sesatu yang baru, ia tetap meresahkan pengguna di kawasan terjejas dan 'memaksa' mereka membuat persediaan awal seperti membeli tong air, air mineral sebagai bekalan air minum serta mula menadah air sejak Ahad lepas.

Bagi seorang pengamal media, Zubaidah Mat Isa, 34, dia menyediakan satu tong besar di samping dua baldi besar sebagai persediaan untuk menyimpan air sepanjang tempoh gangguan bekalan air bermula esok.

"Bermula Sabtu lalu, saya dah mula tadah air dan beli air mineral bersaiz besar untuk dihantar ke rumah pengasuh anak memandangkan rumahnya juga turut mengalami masalah bekalan air," katanya kepada Bernama.

Ibu kepada dua orang anak yang menetap di Setia Alam itu berkata, dia terpaksa mengambil beberapa pendekatan lain seandainya bekalan air yang disimpan tidak mencukupi dan lori tangki air tidak tiba seperti yang dijadualkan.

"Memang sangat merisaukan jika air tadahan yang disimpan tidak cukup sebab tempoh gangguan air dikatakan mencapai sehingga 14 jam memandangkan saya serta jiran lain, ramai yang ada anak kecil. Kalau terdesak, saya akan pulang ke kampung di Subang," katanya.

Nafisah Ahmad, 59, seorang kontraktor ubah suai rumah pula berkata dia akan mula menadah air bermula hari ini bagi memastikan kerja-kerja baik pulih yang giat dijalankan di sebuah unit di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam Jalan Duta berjalan lancar.

"Saya akan bawa sendiri tiga tong besar untuk tadah air dan berharap ia mencukupi sepanjang kerja-kerja baik pulih dijalankan. Jika tidak, mungkin empat pekerja saya terpaksa mencari air alternatif," katanya.

Sementara itu, Ilias Ibrahim, 63, sudah melakukan persediaan sejak seminggu lepas dengan menyediakan beberapa tong besar untuk menyimpan bekalan air.

Ilias yang bekerja di sebuah kedai runcit berkata situasi terputus bekalan air bukan kali pertama berlaku, cuma kali ini ini lebih meresahkan kerana pihak Syabas membuat pengumuman lebih awal.

"Rata-rata kami di Chow Kit sudah bersedia. Air mineral di sini pun sangat laris kerana rata-rata penduduk di sekitar Chow Kit datang membeli air mineral yang banyak untuk bekalan air minum mereka, jadi tiada masalah kekurangan stok bagi kami," katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Tutup kedai

Bagi Ann Mazna Abdullah, 64, yang mengusahakan sebuah gerai makanan, kebiasaannya pihaknya tidak akan beroperasi sekiranya ada gangguan bekalan air.

"Kami perlu menggunakan air yang banyak untuk mencuci serta memasak dan gangguan bekalan air sedikit sebanyak akan menyukarkan kami di dapur dan untuk itu, kami membuat keputusan untuk tidak beroperasi pada hari itu.

"Anggaran kerugian mencecah empat angka jika kami tidak beroperasi tetapi apakah daya kami mementingkan aspek kebersihan daripada segi penyediaan makanan sebab itulah kami rela tidak beroperasi pada waktu berlakunya gangguan bekalan air," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Syabas Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya akan menggerakkan 82 buah tangki air dan 17 jumbo tanker sepanjang berlakunya gangguan bekalan air.

"Selain bantuan melalui lori-lori tangki, sebanyak 106 buah tangki statik turut diletakkan di lokasi-lokasi strategik dan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan sebagainya. Kami juga akan mengaktifkan 10 pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi memberi bantuan bekalan air.

"PKS ini akan diaktifkan bermula pukul 8 pagi pada 26 April dan beroperasi 24 jam sehingga bekalan air pulih sepenuhnya. Setakat ini juga, kita tidak meminta bantuan pihak lain memandangkan semua aset Syabas yang digerakkan mampu membantu pengguna yang terjejas," katanya.

Tambahnya, bagi kes-kes kecemasan seperti kematian dan kenduri kahwin, pelanggan boleh menghubungi Syabas di Pusat Panggilan Air Selangor di talian 15300, SMS Tanker ke 15300 dan Whatsapp ke 0192816739 atau 0192800919.

-Bernama

Lihat Komen
ADS