Keputusan ujian: 5 disahkan tidak dijangkiti selesema burung
Ujian terhadap lima daripada tujuh orang yang dikhuatiri dijangkiti virus selesema burung H5N1, menunjukkan keputusan negatif.
Ujian terhadap lima daripada tujuh orang yang dikhuatiri dijangkiti virus selesema burung H5N1, menunjukkan keputusan negatif.
Manakala seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh bulan telah dibenarkan pulang semalam setelah didapati tidak mengalami sebarang demam atau gejala-gejala lain.
Bernama melaporkan, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun masih berada di hospital dan menunggu keputusan ujian. Dia dilaporkan dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, AFP pula melaporkan kesemua tujuh orang terbabit telah disahkan bebas daripada jangkitan virus selesema burung.
Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek dipetik oleh Bernama sebagai berkata, satu kes baru dilaporkan membabitkan seorang bayi berusia 17 bulan yang dimasukkan ke HKL semalam untuk pemerhatian.
Menurut laporan Bernama, dengan ini, katanya, jumlah pesakit yang dimasukkan ke HKL sehingga kini kekal tujuh orang.
Mereka telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin selepas 40 ekor ayam di Gombak disahkan mati minggu lalu kerana jangkitan virus selesema burung.
Dr Chua berkata, keputusan yang diperolehi malam tadi mendapati kelima pesakit tersebut tidak mempunyai tanda dijangkiti virus maut H5N1 itu.
"Kelima-lima pesakit itu juga jika tidak mengalami demam atau gejala-gejala lain, mereka mungkin akan dibenarkan keluar esok (Khamis)," katanya ketika berucap sempena majlis Anugerah Media kementeriannya di Kuala Lumpur malam tadi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.