Siaran kartun: Ketua Pengarang dan editor NST dipanggil beri keterangan
Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NSTP) dan seorang editor akhbar NST telah dipanggil oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) semalam berhubung penyiaran kartun yang dianggap mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NSTP) dan seorang editor akhbar NST telah dipanggil oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) semalam berhubung penyiaran kartun yang dianggap mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom mengesahkan perkara itu tanpa menamakan kedua-duanya.
Ketua Pengarang kumpulan NST ketika ini ialah Datuk Hishamuddin Aun manakala Pengarang Kumpulan akhbar NST ialah Brendan Pareira. Datuk Kalimullah Hassan pula merupakan Penasihat Pengarang kumpulan tersebut.
"Laporan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri, dan sebarang tindakan akan bergantung kepada keterangan pengarang akhbar itu serta laporan pegawai kementerian," katanya kepada pemberita di Jitra malam tadi.
Isnin lalu dan hari ini, akhbar tersebut menyiarkan kartun yang sama. Ia tidak mengandungi lukisan Rasullullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis yang menawarkan perkhidmatan lukisan karikatur Nabi Muhammad.
Beberapa pihak, termasuk Pemuda PAS puat, telah membuat laporan polis mengenai kartun itu.
Dinasihat berhati-hati
"Mungkin esok (Khamis) kita akan mengetahui hasil laporan oleh pegawai kementerian untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri," kata Mohd Johari yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan pihak media supaya sentiasa berhati-hati dan sensitif terhadap perkara yang menyentuh apa jua agama.
Bernama melaporkan Mohd Johari, yang baru dilantik ke jawatan itu bersama seorang lagi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiaw, dalam satu rombakan kabinet minggu lalu, berkata beliau akan bertanggungjawab terhadap Polis Diraja Malaysia, Agensi Dadah Kebangsaan dan percetakan al-Quran.
"Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memulihkan semangat anggota pasukan keselamatan yang menghadapi banyak tekanan akibat tindakan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan mereka," katanya.
Beliau meminta orang ramai menilai sumbangan anggota polis dengan melihat sejarah perjuangan pasukan itu yang terpaksa melakukan banyak pergorbanan demi menjaga keselamatan negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.