Mahkamah benarkan pengikut Ayah Pin cabar kesahan enakmen Tganu
Seorang pengikut pemimpin kumpulan ajaran sesat Ayah Pin semalam diberikan kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan tiga peruntukan dalam dua enakmen Terengganu atas alasan Dewan Undangan Negeri tiada kuasa untuk menguatkuasakannya.
Seorang pengikut pemimpin kumpulan ajaran sesat Ayah Pin semalam diberikan kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahan tiga peruntukan dalam dua enakmen Terengganu atas alasan Dewan Undangan Negeri tiada kuasa untuk menguatkuasakannya.
Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Mohamed Sheriff dan Datuk Richard Malanjum sebulat suara memberi kebenaran kepada Sulaiman Takrib dan menetapkan 3 April untuk mendengar kes itu.
Terdahulu, panel itu mendengar hujahan peguam bela Sulaiman, Malik Imtiaz Sarwar dan Harris Ibrahim, Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu Ahmad Kamal Mohamad Shahid dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, yang mewakili kerajaan.
Menurut laporan Bernama, Sulaiman, 56, memohon kebenaran untuk mengisytiharkan Seksyen 10 dan Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Penalti Budi Bicara) (Terengganu) 2001 (SCOT) dan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 (AIRA) sebagai tidak sah.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Sulaiman didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di Besut, Terengganu, mengikut Seksyen 10, SCOT iaitu "melakukan perbuatan menghina pihak berkuasa agama kerana tidak mematuhi fatwa bahawa ajaran yang disebarkan Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, adalah palsu, menyeleweng, menyimpang dan boleh mengancam ketenteraman awam dan merosakkan akidah (orang Islam)".
Mengaku tidak bersalah
Dia juga menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 14 iaitu memiliki lima VCD mengandungi rakaman mengenai perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang syariah di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kediaman Ayah Pin di Batu 13, Mukim Kampung Tenang, Hulu Besut pada 2 Julai tahun lalu.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Ahmad Kamal berhujah Dewan Undangan Negeri Terengganu diberikan kuasa untuk menguatkuasakan tiga seksyen itu kerana kesalahan berkenaan berkaitan dengan kesalahan melanggar ajaran Islam.
Beliau juga berkata Jawatankuasa Fatwa bukan badan pembuat undang-undang bebas dan kuasa untuk mengeluarkan fatwa telah diwakilkan oleh Dewan Undangan Negeri dengan cara yang betul.
Umi, dalam hujahannya berkata permohonan Sulaiman itu adalah remeh temeh dan menyakitkan hati kerana sebenarnya tidak ada kes.
"Mengikut AIRA, kuasa untuk membuat fatwa adalah tanggungjawab Jawatankuasa Fatwa. Fatwa ialah undang-undang subsidiari yang dibuat oleh Majlis mengikut prosedur yang digariskan dalam AIRA dan dengan itu di luar bidang kuasa undang-undang persekutuan," katanya.
Oleh itu, adalah salah bagi Sulaiman untuk merujuk Fasal 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mencabar kesahan enakmen itu, katanya.
Pada pendengaran lalu pada 19 Januari, peguam Haris Ibrahim berkata Dewan Undangan Negeri tidak diberikan kuasa untuk menguatkuasakan peruntukan seumpama itu kerana kesalahan mengikut Seksyen 10 dan 14 enakmen itu tiada kaitan dengan mana-mana ajaran Islam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.