DUN N SEMBILAN | Kerajaan negeri tidak akan mengurangkan pengambilan kakitangan awam kerana masih mengguna pakai dasar yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata setakat ini jumlah penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri adalah seramai 5,301 orang iaitu 3,509 di Jabatan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) (1,566) dan 226 orang di Badan-Badan Berkanun Negeri.

“Buat masa ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengurangkan pengambilan kakitangan awam kerana masih mengguna pakai dasar ditetapkan JPA iaitu peratus pengisian tidak melebihi 89 peratus daripada jumlah perjawatan dan ini selari dengan apa yang dikehendaki kerajaan persekutuan yang mahukan perjawatan tidak melebihi 89 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan tambahan Ismail Lasim (BN-Juasseh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyeru rakyat di negeri ini supaya membuat permohonan kerja yang telah dibuka di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Mengenai menara telekomunikasi yang tidak mempunyai lesen, Aminuddin berkata pihaknya memandang serius isu pembinaan menara telekomunikasi secara tidak sah.

“Melalui maklumat dan rekod pihak berkuasa berkenaan didapati sebanyak 276 menara telekomunikasi tidak mempunyai lesen…bagaimanapun tidak dapat dinafikan kewujudan menara telekomunikasi perlu bagi memenuhi keperluan teknologi perhubungan, Internet serta aplikasi dan transaksi dalam talian selari dengan keadaan semasa.

“Dalam perkara itu, pihak PBT sedang giat melaksanakan proses pemutihan serta diberikan peluang untuk memohon lesen secara sah bagi memastikan pembinaan menara telekomunikasi dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan semasa yang berkuat kuasa,” katanya.

Tambahnya mana-mana menara telekomunikasi yang dikenal pasti tidak mempunyai permit sah akan dikenakan denda iaitu antara RM250 hingga RM79,800 bagi satu permohonan berdasarkan Undang-Undang Kecil di bawah PBT berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang) mengenai menara telekomunikasi yang tidak mempunyai lesen.

Beliau juga berkata kadar bayaran lesen yang dikenakan adalah sebanyak RM2,000

- Bernama