Killinghal gesa SBB serah pada pemegang buat keputusan
Southern Bank Bhd (SBB) digesa supaya menyerahkan kepada pemegang saham selaku pemilik utama SBB untuk membuat keputusan mengenai masa depan bank itu.
Southern Bank Bhd (SBB) digesa supaya menyerahkan kepada pemegang saham selaku pemilik utama SBB untuk membuat keputusan mengenai masa depan bank itu.
Ketika membuat gesaan tersebut, Killinghall (M) Bhd pemegang saham tunggal terbesar SBB mahu bank tersebut mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), bagi meluluskan cadangan pengambilalihan bank berkenaan oleh Bumiputra Commerce Holdings Bhd (BCHB).
"Lembaga pengarah (Killinghall) kecewa dengan keputusan lembaga pengarah SBB. Lembaga SBB tidak sepatutnya menghalang dan tidak seharusnya takut untuk membawa keputusan penting ini kepada pemegang saham SBB," kata Killinghall.
Killinghall, yang mempunyai 16.9 peratus pegangan dalam SBB, membuat gesaan tersebut dalam dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama lewat malam ini.
Pada 16 Februari lalu, lembaga pengarah SBB menyatakan bahawa walaupun jika pemegang saham meminta supaya diadakan EGM, pengarah SBB berhak menolak untuk berbuat demikian.
Kepentingan syarikat
Kedudukan berkenaan tidak berubah dalam notis SBB kepad apemegang saham dan pemegang waran bertarikh 20 Februari 2006.
Killinghall telah memberi notis yang mencukupi kepada lembaga SBB dan sebagai syarikat pemegangan pelaburan tanpa wakil lembaga, telah melaksanakan semua usaha bagi melindungi kepentingan syarikat.
Memandangkan keadaan semasa dan kesegeraan perkara berkenaan, lembaga memutuskan untuk melaksanakan hak syarikat sebagai pemegang saham utama SBB dan meminta supaya diadakan dua EGM, mengikut Seksyen 145 Akta Syarikat 1965.
Pada sebelah petang semalam, Killinghall mengadakan mesyuarat lembaga pengarah berkaitan perkara itu yang berlangsung selama hampir empat jam.
Bagaimanapun, pengarah enggan memberikan maklumat mengenai mesyuarat tersebut, dengan seorang engarah yang tidak mahu dinamakan berkata syarikat akan mengeluar kenyataan kepada Bursa Malaysia esok.

