Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga supaya tidak mengeksploitasi harga tong air dengan mengaut keuntungan berlebihan ketika berlaku gangguan bekalan air membabitkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata KPDNHEP tidak akan berkompromi berhubung perkara itu walaupun tong air tersebut tidak tertakluk dalam senarai barangan harga terkawal.

"Kerajaan akan ambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang menaikkan harga tong air secara melampau walaupun tong air tidak termasuk dalam barang kawalan.

"Sekiranya KPDNHEP mengesan ada peniaga yang menaikkan harga barang ini, penguat kuasa kita akan turun dan melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bizfair peringkat Selangor dan Kuala Lumpur di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SSM merangkap Ketua Setiausaha KPDNHEP, Muez Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution turut menyeru orang ramai supaya tampil memberikan maklumat kepada kementerian itu sekiranya terdapat peniaga yang didapati menaikkan harga tong air tersebut.

"Bermula semalam, penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa 73 premis menjual tong air di sekitar negeri berkenaan dan setakat ini tidak berlaku kenaikan harga.

"Penguat kuasa Selangor akan meneruskan operasi pemantauan harga tong air sehingga gangguan bekalan air selesai," katanya.

Bermula esok sehingga 27 April, berlaku gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), melibatkan enam wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sementara itu, Saifuddin berkata pihaknya bersedia menambah peruntukan untuk diagihkan kepada usahawan di bawah program SSM Bizgrant.

"Sejak program ini diperkenalkan pada 2018, SSM menyediakan RM10 juta dalam bentuk geran untuk diagihkan kepada 3,000 usahawan terpilih seluruh negara bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Saya mahu SSM menjejaki usahawan yang diberi bantuan ini untuk melihat perkembangan perniagaan mereka, dan sekiranya usahawan ini berjaya kita bersedia menambah peruntukan itu untuk membantu usahawan lain," katanya.

- Bernama