Surat tunjuk sebab: NSTP diberi tiga hari untuk beri penjelasan
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memberi surat tunjuk sebab kepada Kumpulan akhbar The New Straits Times (M) Bhd (NSTP) untuk menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar terbitannya New Straits Times (NST) kerana menyiarkan kartun yang mengaitkan isu karikatur mempersenda Nabi Muhammad SAW.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memberi surat tunjuk sebab kepada Kumpulan akhbar The New Straits Times (M) Bhd (NSTP) untuk menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar terbitannya New Straits Times (NST) kerana menyiarkan kartun yang mengaitkan isu karikatur mempersenda Nabi Muhammad SAW.
Sehubungan itu, NSTP diberi tempoh tiga hari mulai semalam untuk menjawab surat tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, KKDN, Abdul Rahim Mohd Razi.
Surat itu diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishammuddin Aun di pejabat KKDN di Putrajaya semalam.
Sebelum itu, Hishammuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar telah dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Ketua Setiausaha KKDN, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof.
Perkara tersebut dilaporkan di muka depan akhbar Berita Harian hari ini. Ketika mengulas perkara tersebut Hishammuddin berkata: "Perkara ini kini dalam tangan pihak berkuasa dan semua pihak perlu membiarkan undang-undang menentukannya."
Kartun tersebut disiarkan oleh NST Isnin lalu dan sekali lagi semalam, memaparkan seorang pelukis menawarkan perkhidmatan melukis karikatur Nabi Muhammad.
Tuntut pohon maaf
Sebelum ini, KKDN telah menggantung permit akhbar Sarawak Tribune pada 9 Februari lalu bagi tempoh yang tidak ditetapkan, kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark sehinggal menimbulkan kemarahan umat Islam.
Penerbitan akhbar berbahasa Cina edisi petang, Guang Ming Daily turut digantung selama dua minggu mulai 16 Februari kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur tersebut.
Sementara itu, Pemuda Umno telah menuntut Ketua Pengarang Kumpulan NSTP supaya memohon maaf dengan sesungguh-sungguhnya kepada umat Islam dan semua kaum di Malaysia ekoran penyiaran kartun tersebut, yang dianggap menghina dan mengguris perasaan umat Islam.
Walaupun kartun itu tidak mempunyai sebarang lakaran karikatur atau objek Nabi Muhammad SAW, tetapi ianya mengandungi kata-kata yang sinis dan penuh sindiran, kata Pengerusi Biro Agama pergerakan itu, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin dalam lamanweb Pemuda Umno semalam.
Jelasnya, sebarang unsur humor yang dikaitkan dalam bentuk apa sekalipun, secara langsung atau tidak langsung berhubung isu karikatur menghina Nabi Muhammad adalah satu penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw sekaligus menghina agama Islam dan merosakkan keharmonian, amalan kebebasan beragama, masyarakat berbilang kaum di dalam negara Malaysia.
Shamsul Najmi mendakwa, pengurusan baru NST telah menjadikan NST melanggar etika dan tanggungjawab kewartawanan, akta mesin cetak dan penerbitan 1984, serta telah jauh terpesong daripada semangat perpaduan dan Rukun Negara.
Sementara itu, Harakah Daily melaporkan, Pemuda PAS menolak penjelasan NST berhubung penyiaran kartun tersebut dan memberi 24 jam sehingga jam 11 pagi ini, untuk memohon maaf kepada umat Islam di negara ini.
Sekiranya, NST gagal berbuat demikian, Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, ahli-ahli PAS akan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Balai Berita di Jalan Riong esok dan menuntut supaya akhbar tersebut ditutup.

