Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kuota untuk matrikulasi dijangka diketahui esok

Isu sistem kuota untuk kaum bukan Melayu atau bumiputera bagi mengikuti program matrikulasi dijangka akan diputuskan apabila ia dibawa ke mesyuarat kabinet esok.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan juga akan membuat pendirian berhubung perkara itu.

“Perkara ini saya dimaklumkan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Saya rasa lebih baik tunggu keputusan muktamad daripada jemaah menteri supaya akan ada satu pendirian rasmi dan jelas oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas sempena setahun PH membentuk kerajaan, di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu, anggota parlimen Muar itu diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan yang akan mengkaji sistem kuota untuk program matrikulasi.

Selain itu, beliau juga diminta mengulas gesaan Exco Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir supaya sekolah vernakular turut ditutup demi kesepaduan kaum.

Syed Saddiq ketika diminta mengulas pendiriannya berkata semua pihak perlu menunggu hasil mesyuarat esok.

“Sebagai anggota kabinet, saya rasa kita kena tunggu hasil mesyuarat esok,” katanya.

Sebelum ini Pemuda DAP mencadangkan supaya sistem kuota kaum untuk program prauniversiti itu dimansuhkan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula sebelum ini dilaporkan berkata dasar 90 peratus pelajar bumiputera untuk program matrikulasi akan dikekalkan.

Bagaimanapun katanya kabinet akan mengkaji sama ada lebih banyak tempat akan dibuka untuk golongan bukan bumiputera.

Lihat Komen
ADS