Hakim rasa berdosa lebih 100 mati akibat PRU
GLOBAL | Lebih 100 orang meninggal dunia gara-gara menguruskan pilihan raya umum (PRU) di Indonesia, Ketua Mahkamah Perlembagaan Anwar Usman kini berasa berdosa.
Perasaan itu dialaminya kerana hasil pendirian mahkamah itulah yang membawa kepada pelaksanaan PRU negara itu dijalankan serentak dengan pemilihan presiden.
PRU dan pemilihan presiden berkenaan diadakan di seluruh Indonesia pada 17 April lalu.
kata Anwar pelaksanaan PRU 2019 adalah yang paling sulit di dunia.
"Saya berasa turut berdosa kerana saya terbabit memutuskan (pelaksanaan serentak PRU dan pemilihan presiden)," katanya seperti dipetik CNN Indonesia.
Kata Anwar berdasarkan maklumat yang sampai kepadanya seramai 45 petugas pilihan raya - dikenali sebagai Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara atau KPPS - dan 15 anggota polis meninggal dunia setakat ini.
Maklumat daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU) pula, setakat hari ini seramai 119 orang KPPS meninggal dunia.
Pesuruhjaya KPU, Viryan Aziz, berkata selain itu ada seramai 548 orang sakit di seluruh 25 wilayah Indonesia.
Difahamkan kebanyakan petugas yang meninggal dunia itu akibat kepenatan.
Menurut Anwar pertimbangan Mahkamah Perlembagaan memutuskan PRU dan pemilihan presiden dijalankan serentak dibuat dengan melihat kepada aspek perbelanjaan dan penjimatan masa.
Namun, kata Anwar, melihat dan mengalami sendiri pemilihan berkenaan, kos yang terlibat ternyata lebih besar daripada jangkaan.
Pada masa sama Anwar menegaskan hakim bukanlah tuhan dan mengetahui segala-galanya.
"Keputusan hakim Mahkamah Perlembagaan pun bukan firman tuhan, konstitusi boleh dipinda," katanya.
Anwar juga berkata dia tidak menyesal kerana membuat ketetapan agar PRU dan pemilihan presiden dijalankan serentak.
Pada masa sama dia berpendapat pengalaman yang diperolehi kali ini akan bermanfaat untuk menjadi pertimbangan dan penilaian pada masa depan.

