Penganggur ditahan cuba tukar wang palsu
Cubaan seorang lelaki menukar wang palsu buat kali kedua di sebuah kedai serbaneka di Kuchai Lama, Kuala Lumpur gagal apabila ditahan pekerja kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ruslan Khalid berkata sebelum itu suspek berusia 40 tahun menukar tiga keping wang kertas RM100 di kedai tersebut kira-kira 3 pagi 22 April, dan kembali sejam kemudian untuk melakukan perkara sama.
"Namun, pekerja kedai tersebut mengenali serta mengecam suspek dan bertindak menahan lelaki itu serta-merta sebelum menghubungi polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis mendapati suspek yang tidak bekerja membawa lapan keping wang kertas RM100 disyaki palsu.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu sebagai wang tulen dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama

