Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerajaan timbang kaedah baru kekang eksploitasi pekerja asing'

WAWANCARA | Kementerian Sumber Manusia mengusulkan penggunaan mekanisme audit dalaman secara sukarela oleh majikan untuk mengekang eksploitasi terhadap pekerja asing.

Menurut menterinya M Kulasegaran, di bawah mekanisme ini, majikan akan mengambil syarikat swasta untuk mengadakan audit dalaman dan merangka 'laporan audit pematuhan sosial (social compliance)'.

"Laporan audit akan merangkumi semua syarat kementerian - sama ada gaji, Socso dan KWSP dibayar mengikut masa, sama ada cuti diberi kepada pekerja dan berapa hari, serta (hal berkaitan) perubatan.

"(Juruaudit) juga akan mewawancara pekerja," katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bulan depan.

Katanya lagi, laporan itu akan dihantar kepada syarikat dan kementerian.

"Jika ia tidak memuaskan, kita tidak akan memperbaharui kelulusan yang diberi sebelumnya," katanya lagi.

Selain memastikan amalan kerja terbaik dalam industri, Kulasegaran berkata mekanisme itu sebagai penyelesaian yang berpotensi untuk menangani kekurangan tenaga untuk penguatkuasaan.

Usul itu dicadangkan selepas permohonan kementerian untuk menambah kakitangan penguatkuasaan ditolak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mekanisme audit dalaman akan membawa kepada pengurangan serbuan, kata Kulasegaran lagi.

"Secara asasnya (ini untuk) pekerja asing terutamanya, tetapi kita mengalu-alukan semua pihak (untuk mengendalikan proses audit). Ia akan memudahkan kerja, kita tidak perlu ke pejabat anda," katanya.

Kepada mereka yang memilih untuk tidak menggunakan mekanisme itu, kementerian akan meneruskan operasi dan serbuan seperti biasa.

Beliau berkata majikan perlu menanggung kos tersebut.

"Kita mahukan sistem yang terbaik dan ada pihak yang perlu membayarnya," katanya ketika ditanya tentang penerimaan majikan terhadap mekanisme itu.

Beliau berkata usul itu sudah dibincangkan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dan perbincangan juga akan melibatkan semua pemegang taruh.

Mekanisme itu digunakan gabungan industri terbesar dunia, Responsible Business Alliance (RBA) yang menggunakan proses audit yang disahkan sebagai kaedah membanteras pemerdagangan dan pemaksaan tenaga kerja.

Lihat Komen
ADS