Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dari zaman sekolah, saya mencari sebab mengapa Tun Hussein Onn digelar sebagai Bapa Perpaduan Malaysia.

Nak kata beliau yang menyelesaikan rusuhan kaum 13 Mei 1969, tak juga. Jadi, saya pun bertanyalah kepada sahabat baik saya yang sentiasa menjadi penyelesaian kepada setiap soalan yang ada.

Tak sampai lima minit, Google telah memberitahu saya kenapa beliau digelar sebagai Bapa Perpaduan Malaysia. Menerusi laman web perdana.org.my, salah satu sumbangan Tun Hussein Onn adalah seperti berikut:

“Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Tun Hussein Onn telah memastikan bahawa isu perpaduan kaum sentiasa berada di hadapan dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Pada tahun 1974, Tun Hussein telah melancarkan National Unity Council untuk memupuk semangat cintakan negara ke dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berdasarkan Rukun Negara, dan untuk mempertingkat hubungan antara kerajaan dan orang awam. Tun Hussein juga percaya bahawa bahasa adalah satu alat yang berkesan untuk perpaduan kaum. Beliau memartabatkan Bahasa Malaysia dan menjadikannya sebagai subjek yang wajib lulus, untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).”

Tun Hussein Onn

Tidak disebut langsung tentang apa yang terjadi pada tahun 1976. Atau lebih tepat pada bulan Julai 1976.

Apa yang terjadi pada 1976?

Dalam sesi Dewan Rakyat yang berlangsung pada bulan Julai 1976, Tun Hussein Onn yang juga merupakan perdana menteri ketiga telah membentangkan satu usul untuk meminda peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pindaan itu berjumlah 19 halaman yang terdiri daripada 48 klausa. Salah satunya adalah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Secara ringkasnya, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan Malaysia terdiri daripada Negeri-Negeri Malaya (semua negeri di Semenanjung Malaysia) dan Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Itu adalah kedudukan asal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dari tahun 1963. Tiga belas tahun kemudian, ia ditukar oleh Bapa Perpaduan Malaysia.

Alasannya? pindaan itu bertujuan menyusun semula nama-nama negeri yang di dalam Persekutuan ini.

Alasan ini bukan rekaan semata-mata oleh saya. Ia adalah seperti yang tercatat dalam hansard parlimen pada 12 Julai 1976. [MUAT TURUN HANSARD]

Pindaan ke atas peruntukan ini tidak mendapat perdebatan yang memuaskan kerana ahli-ahli Dewan Rakyat waktu itu lebih memfokuskan hujah mereka ke atas pindaan yang dibuat ke atas peruntukan hak asasi (fundamental liberties).

Dan pada 13 Julai 1976, pindaan ini diluluskan.

Menyusun semula

Kita perhatikan semula alasan yang diberikan oleh Bapa Perpaduan Malaysia untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan. Ia dibuat hanya sekadar untuk menyusun semula nama-nama negeri di Malaysia.

Menyusun semula!

Adakah penyusunan itu tidak memberi sebarang kesan kepada negeri-negeri yang wujud dalam Malaysia? Adakah ia sekadar menukar, menghapuskan perkataan negeri-negeri Malaya dan negeri-negeri Borneo tanpa memberi sebarang manfaat atau mudarat kepada rakyat yang hidup dalam negeri-negeri ini?

Adakah ini juga sumbangan yang melayakkan Tun Hussein Onn diberi gelaran Bapa Perpaduan Malaysia kerana telah menyatukan semua negeri-negeri dalam Malaysia di bawah pindaan perlembagaan tahun 1976?

Yang jelas, ia adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat Sabah dan Sarawak meskipun wakil-wakil rakyat mereka waktu itu semuanya menyokong pindaan tersebut.

Mengapa saya kata mereka tidak lupa? Kerana mereka mahu Perjanjian Malaysia yang termeterai pada tahun 1963 dilaksanakan semula. Hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dalam pelbagai perkara seperti ekonomi perlu dikembalikan dengan sepenuh dan sejujurnya. Kasi setel cepat, bak kata orang-orang muda sekarang.

Kalau kita baca Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 4 Perjanjian tersebut adalah sama intinya, sama isinya dan sama perkataannya dengan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sebelum pindaan tahun 1976.

Jadi, apa yang dibuat oleh Tun Hussein Onn bukan saja menyusun semula nama-nama negeri di Malaysia tetapi juga mengubah Perkara 1(2) dan ianya berbeza dengan apa yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Penanggung ‘dosa’ tahun 2019

Jika pindaan tersebut telah membuatkan rakyat lupa akan Perjanjian Malaysia 1963 dan secara tidak langsung menafikan hak-hak mereka dalam pelbagai perkara sejak tahun 1976, maka itu adalah satu “dosa” kepada rakyat di Sabah dan Sarawak yang perlu ditanggung oleh Perdana Menteri Malaysia yang ketiga ini.

Mungkin tidak adil untuk menyalahkan Tun Hussein Onn kerana kita tidak dapat mendengar cerita pindaan ini mengikut versi beliau tetapi apa yang ada untuk menjelaskan rasional pindaan tersebut adalah seperti yang tercatat dalam hansard Parlimen bertarikh 12 Julai 1976.

Dan “dosa” ini tidak ditanggung sepenuhnya oleh beliau kerana pada tahun 2019, seramai 59 wakil rakyat telah rela hati dan sepenuh jiwa untuk menyambung membawa “dosa” ini.

Siapa dan mengapa mereka mahu menanggung dosa ini, akan saya ceritakan pada minggu hadapan.


ZHARIF BADRUL ialah pegawai khas menteri dan ahli pemuda Amanah. Beliau juga memiliki ijazah undang-undang dari universiti tempatan dan telah selamat didaftarakan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS