Panel pertikai kredibiliti saksi kelima yang pernah digantung kerja
RCI WANG KELIAN | Saksi kelima iaitu seorang pegawai senior yang terlibat dalam penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian pada 2015 pernah ditahan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak dua kali berkaitan penyeludupan ketum, beras dan diesel.
Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-14 Superintendan Wan Hamzah Wan Kadir ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian di Putrajaya yang masuk hari kelima, hari ini.
Pada 2015, Wan Hamzah merupakan Pegawai pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Bidor Perak.
Manakala anggota berkenaan yang juga saksi kelima iaitu Komandan Kompeni B Batalion 3 PGA Briged Utara DSP Joeking M Marian Anthony terlibat dalam memusnahkan kem penempatan sementara tersebut.
Wan Hamzah juga menjelaskan SPRM mula memantau Joeking pada 2011 dan menahannya pada 2015 dan 2019.

Selain itu katanya, Joeking turut digantung tugas pada Mac tahun ini.
“Pada 2 Mac 2015, SPRM datang pejabat saya dan buat tangkapan pada Joeking dan beberapa pegawai lain.
“Saya sebagai saksilah dan (tangkapan itu) tiada kaitan dengan (penemuan kem) Wang Burma,” katanya.
Menurutnya lagi, setelah tangkapan dibuat Wan Hamzah turut memaklumkan bahawa beliau menghantar surat kepada Joeking dan beberapa pegawai yang lain supaya tidak membuat operasi di dalam PGA lagi.
Untuk rekod, Joeking merupakan saksi kelima yang dipanggil memberi keterangan di hadapan panel RCI Khamis lalu.
Pengerusi RCI Arifin Zakaria kemudian berkata penahanan saksi oleh SPRM berkaitan siasatan kes rasuah seperti diberitahu Wan Hamzah harus diberi perhatian dan status terkini siasatan perlu diketahui untuk menjustifikasi kredibiliti saksi tersebut.

Hujah itu turut dipersetujui oleh Timbalan Pengerusi RCI Norian Mai yang menyatakan semakan semula itu adalah penting kerana melibatkan soal kredibiliti saksi berkenaan.
Selain Joeking, Wan Hamzah juga memaklumkan empat pegawai dan beberapa anggota PGA turut ditahan SPRM pada 2 Mac 2015, di mana beliau difahamkan penahanan itu tidak kaitan dengan kes Bukit Wang Burma atau pendatang asing.
Beliau dalam prosiding itu juga menafikan dakwaan Joeking dalam kenyataannya sebelum ini kepada RCI bahawa dia (Joeking) dilarang menyertai operasi siasatan penemuan kem sementara itu atas arahan pihak atasan.
Menurut Wan Hamzah, larangan itu tidak berkaitan dengan kes penemuan kem dan kubur di Bukit Wang Burma tetapi melibatkan siasatan kes rasuah yang dihadapi Joeking.

Beliau berkata surat larangan menghalang Joeking daripada terlibat dalam sebarang operasi itu dikeluarkannya selepas anak buahnya itu ditahan SPRM.
Menurutnya, Joeking juga telah mengingkari arahan Perintah Am PGA apabila membawa telefon bimbit sewaktu melakukan operasi tinjauan di kem penempatan sementara itu pada 21 Jan 2015.
Di bawah perintah itu, anggota dan pegawai PGA tidak dibenarkan membawa telefon ketika bertugas kecuali dengan kebenaran pegawai atasan, katanya.
Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.






