Seorang atendan sebuah hospital tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan mencuri wang berjumlah RM5,000 milik seorang pesara tentera, Disember tahun lepas.

Mohd Yushairi Mohd Kamal, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Taufiq Affandy Chin.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan mencuri itu dengan cara mengeluarkan wang tunai berjumlah RM5,000 dari akaun simpanan milik Ujang Mormin, 98, di mesin ATM Bank Simpanan Nasional, Taman Melati, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, antara 8.25 malam dan 8.30 malam, 30 Dis 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seskyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ranjeep Singh tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan semula kes bagi membolehkannya melantik peguam.

- Bernama