Pelajar malas fikir, buta politik: Pak Samad
Pelajar dan generasi muda sekarang "buta huruf politik" dan malas berfikir walau mempunyai kesedaran dalam hal itu, kata wartawan veteran Tan Sri A Samad Ismail.
Pelajar dan generasi muda sekarang "buta huruf politik" dan malas berfikir walau mempunyai kesedaran dalam hal itu, kata wartawan veteran Tan Sri A Samad Ismail.
"Mereka mempunyai kesedaran politik tetapi mereka juga 'buta huruf politik.' Ada berbezaan di antara kesedaran politik dengan 'buta huruf politik'," tegasnya.
"Mereka tidak menggunakan fikiran serta tidak serius dalam politik. Oleh itu mereka terbawa-bawa dengan emosi, tanpa mempunyai sebarang ideologi dan idealisme mengenai bentuk masyarakat (akan datang) yang mereka mahu wujudkan."
Dalam wawancara khas dengan malaysiakini , tokoh wartawan itu juga berkata generasi muda kini suka menyindir dan enggan mendengar pandangan orang lain.
"Mereka tidak berbincang mengenai politik, tetapi mereka 'gosip' mengenai politik," katanya lagi, dua hari sebelum perkhidmatan beliau sebagai penasihat jabatan pengarang kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) ditamatkan.
Beliau, lebih popular dengan panggilan Pak Samad, juga mendakwa kebanyakan pelajar sekarang yang propembangkang tidak memberikan pandangan membina serta tidak bersikap positif.
Pak Samad memberikan contoh sikap generasi muda sekarang apabila mereka menilai kegagalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishamudin Tun Hussein Onn melobi di Hong Kong awal tahun ini bagi menganjurkan Sukan Asia ke-14.
"Mereka mendakwa Malaysia gagal dipilih menjadi penganjurnya kerana rombongan negara menayangkan klip video mengenai (perdana menteri) Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Itu sahaja," kata wartawan terkenal itu.
"Mereka sepatutnya berbincang sama ada klip video yang dibawa itu tidak lengkap, atau beliau (menteri itu) tidak membuat persediaan secukupnya. Tetapi mereka mendakwa kegagalan itu berpunca daripada tayangan klip video Dr Mahathir. (Tindakan) ini kerana mereka bersikap suka menyindir dan kerana mereka 'buta huruf politik'."
Pak Samad, yang juga berpengalaman luas dalam gerakan politik sebelum kemerdekaan, menyarankan generasi muda kini membaca dan berkongsi pengalaman politik dengan tokoh-tokoh berpengalaman.
"Masa saya muda dahulu, ketika waktu sekolah, saya banyak membaca. Saya melanggan majalah-majalah nasionalis. Kemudian saya menyertai politik. Saya berdamping dengan (dua tokoh nasional waktu itu) Ibrahim Yaakob dan Ishak Muhammad," katanya.
Menurutnya lagi, pemimpin politik masa kini dahulu lebih serius berbincang dan terlibat dengan politik ketika mereka masih pelajar.
"(Timbalan perdana menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu masih belajar serius bergerak dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sentiasa berbincang mengenai politik, termasuk soal hak orang Melayu. (Generasi) mereka serius sehinggalah sampai ke zaman (bekas timbalan perdana menteri) Anwar Ibrahim. Tetapi pelajar sekarang tidak serius."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.