Terjemahan Mahkamah Rayuan bersidang hari ini untuk mendengar kes membabitkan Metramac Corporation Sdn Bhd dan Fawziah Holdings berhubung perjanjian membabitkan RM65 juta bagi hak mengiklan di sepanjang jalan tol Cheras.

Metramac memohon untuk mendapatkan penangguhan pembayaran pampasan tersebut. Fawziah Holding pula hanya akan bersetuju dengan pemohonan tersebut sekiranya pihak mahkamah mengenakan syarat-syarat tambahan bagi menjaminnya bayaran tersebut.

Kes ini turut mendapatkan perhatian umum di luar mahkamah kerana beberapa nama personaliti terkemuka tanahair turut dikaitkan

Fawziah Holdings dan Syarikat Teratai KG Sdn Bhd (STKG) ditubuhkan sebagai syarikat milik eksekutif perniagaan Fawziah Karim dan ibunya Maimon Bee kedua-duanya menjadi pengarah dan pemegang sahamnya.

Pada Julai 1986, STKG berjaya memenangi tender yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka-bentuk, membina, membiayai dan mengendali operasi pengswastaan jalan-jalan tertentu di kawasan Kuala Lumpur.

Ia telah menandatangan perjanjian konsesi pertama pada 20 November 1987 dengan DBKL. Fasal mengenai "hak tanah" di dalamnya membawa kepada perjanjian perlesenan untuk memegang hak papan iklan(signage) kepada STKG dan kemudiannya kepada Fawziah.

Bantahan orang ramai

Ia adalah mengenai hak mengiklankan melalui papan tanda dan papan iklan di sepanjang jalan konsesi tol Cheras, yang juga akan dibina oleh STKG.

Selepas menerima pelaburan daripada institusi seperti American International Assurance, Lembaga Urusan Tabung Haji dan Bank Pembangunan, STKG menyiapkan projek jalan tersebut.

STKG memulakan kutipan toll, tetapi telah dimaklumkan olehDBKL untuk menggantungkannya pada 12 September 1990 apabila mendapat bantahan orang ramai. Syarikat itu kemudiannya mengemukakan tuntutan pampasan berdasarkan kepada klausa penamatan kontrak dalam perjanjian konsesi tersebut.

Jumlahnya dianggarkan RM764.2 juta dan turut merangkumi pembatalan kontrak pengiklanan yang dikatakan bernilai RM78.5 juta. DBKL bersetuju pada dasarnya terhadap penamatan perjanjian konsesi dan untuk membayar pampasan, walaupun ia tidak menyatakan jumlahnya.

Pada masa yang sama, Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin memaklumkan kepada STKG yang kerajaan tidak mempunyai wang untuk membayar pampasan tersebut.

United Engineers Malaysia Bhd (UEM) kemudiannya membuat tawaran rasmi untuk mengambilalih STKG pada harga RM97.5 juta. Surat tawaran tersebut ditandatangani oleh Tan Sri Halim Saad dan rakan kongsi Datuk Anuar Othman, yang ketika itu merupakan pemegang saham dan pengarah Metro Juara Sdn Bhd, syarikat nominee UEM.

Pembelian itu dilakukan melalui perjanjian jualan saham yang ditandatangani pada 23 Januari 1991. Pada 4 Mac 1991, pemilik barunya menukarkan nama STKG kepada Metramac Corporation Sdn Bhd. Pertukaran milik itu juga memerlukan UEM merundingkan perjanjian konsesi baru dengan DBKL.

Persoalan pokok

Tidak lama selepas pengambilalihan tersebut, Fawziah Holdings mendakwa, Metramac membatalkan perjanjian pengiklanan tersebut dan mengingkari struktur perjanjian jual-beli. Ia kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah untuk mendapatkan bayaran sepatutnya.

Fawziah Holdings berhujah bahawa isu utama dalam kesnya ialah Metramac "memungkiri kontrak" berhubung perjanjian perlesenan bagi hak pengiklanan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Fawziah Holdings mempunyai hak mendapatkan pampasan bagi kehilangan hak pengiklanan, tetapi enggan meluluskan jumlah tuntutan RM65 juta dan sebaliknya mengarahkan supaya dinilai jumlah kerugiannya.

Ia juga menolak tuntutan balas Metramac bagi memohon beberapa pengisytiharan, termasuk beberapa fasal tertentu sebagai batal dan tidak sah. Ia juga memohon akaun bagi semua hasil yang diterima oleh Fawziah Holdings di bawah perjanjian itu.

Kedua belah pihak tidak berpuashati dengan keputusan tersebut dan membawanya kepada mahkamah rayuan. Ia didengar oleh penal Hakim Datuk Gopal Sri Ram (kanan), Datuk Hashim Yusof and Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Mereka sebulat suara membuat keputusan yang memihak kepada Fawziah Holdings, dan memerintah dibayar pampasan penuh RM65 juta. Hakim Gopal dan Hakim Zulkefli menyampaikan penghakiman mereka secara berasingan.

Pemerhatian hakim

Pemerhatian Hakim Gopal telah mendapat perhatian umum apabila beliau menyentuh mengenai suasana persekitaran STKG selepas ia bertukar milik. Katanya, tawaran tersebut tidak mempunyai sebarang nilai komersial, memandangkan STKG tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai prospek untuk menerima bayaran pampasan.

"Jadi mengapa membayar RM97.5 juta bagi saham syarikat seumpama itu? Jawapannya cukup mudah. Anuar dan Halim mempunyai sesuatu yang plantif tidak ada. Dan ianya adalah naungan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin," katanya.

Menurutnya, ini telah membawa kepada pengambilalihan syarikat defenden seperti yang berlaku selepas itu. Beliau juga menyentuh tentang tindakan Metrojaya. Menurutnya, sebelum perjanjian jual-beli ditandatangani pada 23 Jun 1991, Metro Juara telah menulis kepada DBKL pada 14 Januari 1991 mengenai penyambungan semula kutipan tol dan perundingan semula perjanjian konsesi pertama. Katanya surat seumpama itu tidak mungkin dihantar kecuali, semuanya telah pun diatur.

Gopal juga menyebut, tidak lama selepas pengambilalihan tersebut, seperti berlaku satu 'keajaiban' di mana semua pintu birokratik yang sebelumnya tertutup kepada Fawziah Holdings, tiba-tiba terbuka kepada Metramac.

Kerajaan, katanya, mampu membayar pampasan kepada Metramac sejumlah RM756 juta RM312 juta bagi kos kerja yang dijalankan dan RM405 juta lagi subsidi untuk menampung kos kerja-kerja pembiayaan yang telah dilakukan.

Hakim Gopal berkata, adalah membingungkan apabila Kementerian Kerjaraya membayar RM32.5 juta kepada Halim dan Anuar sebagai "bayaran saham premium" yang tidak "diambil kira sebelumnya" istilah yang menurutnya tidak "memberi sebarang makna".

Beliau juga membuat kesimpulan bahawa Halim dan Anuar telah "memperolehi" RM32.5 juta dari Metramac dan dengan berbuat demikian, mereka mungkin melakukan pecah amanah yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan disebat serta didenda jika sabit kesalahan.

Hakim Gopal juga berkata adalah 'sukar difahami" mengapa STKG tidak diberi sokongan kewangan yang sama oleh pihak kerajaan, memandangkan sekurang-kurangnya dua pemegang sahamnya adalah institusi yang berkaitan dengan kerajaan.

"Dan dalam kes Tabung Haji (pemegang saham STKG), faedah yang diperolehinya akan dinikmati oleh golongan miskin dalam masyarakat kita. Saya fikir ia satu soalan yang adil untuk bertanya kenapa wang orang ramai disalurkan ke tangan dua individu untuk menguntungkan mereka dan bukannya sebahagian besar orang awam.

Tambahnya, adalah tidak jelas mengapa menteri kewangan telah menggunakan kuasanya untuk memihak kepada Anuar dan Halim, dan tidak kepada STKG.

Laporan polis

Komen Hakim Gopal itu terus mendapat perhatian umum apabila ianya diperbesarkan oleh pihak media dan ahli politik pembangkang.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (foto) dari DAP telah membuat laporan polis terhadap Daim, Halim dan Anuar. Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan yang memulakan siasatan terhadap dakwaan berlaku penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa, telah merakamkan kenyataan Tan pada 23 Januari 2006.

Halim dan Daim telah menafikan semua dakwaan terhadap mereka dalam penghakiman tersebut, serta mengeluarkan kenyataan kepada media. Malah Daim telah menggesa Kabinet supaya mendedahkan minit mesyuarat, bagi menyokong kenyataannya itu.

Ekoran laporan media, Metramac melalui peguamnya Datuk Muhammad Shafee Abdullah telah mengemukakan aduan kepada pihak kehakiman berhubung komen-komen tersebut. Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Ab Halim berkata, beliau akan mengkaji aduan tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah mempersoalkan tindakan Shafee membuat aduan tersebut. Hakim Gopal dan dua lagi hakim menyifatkan tindakan itu sebagai "satu percubaan untuk menutup mulut hakim".

Satu inkuiri menghina mahkamah bagi memutuskan sama ada tindakan diambil terhadap Shafee akan didengar selepas mahkamah memutuskan permohonan untuk menangguhkan hukuman dalam kes tersebut.

Bahagian kedua esok adalah mengenai Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Halim Saad